APM ada kuasa arah mangsa banjir berpindah ke PPS

APM ada kuasa arah mangsa banjir berpindah ke PPS

ARMIZAN Mohd. Ali turut bermain congkak ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Mentakab, Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kuasa bagi menasihati dan mengarahkan mangsa banjir yang terkesan untuk segera berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara tersebut termaktub berdasarkan Seksyen 4C (1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221). 

Katanya, penduduk di lokasi terjejas banjir dinasihatkan menjaga keselamatan dan perlu segera berpindah ke PPD jika menerima arahan daripada pihak berwajib bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Ini kerana tegasnya, terdapat mangsa banjir berdegil apabila diarahkan berpindah ke PPS berdekatan. 

“Berdasarkan Seksyen 4C (1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221), APM mempunyai kuasa bagi mewajibkan penduduk yang terjejas dengan banjir untuk berpindah ke PPS. 

“Masyarakat turut diingatkan supaya sentiasa peka dan patuh kepada arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau dan menyantuni 339 mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan di Mentakab, di sini hari ini.

Beliau dalam siri lawatan kerja kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara.

Armizan berkata, sejak bermulanya MTL pada awal November lalu, semua negeri khususnya yang sering terjejas akibat banjir dapat menguruskan situasi itu dengan baik. 

“Saya berharap momentum ini akan berterusan memandangkan kita baru sahaja melalui luruan monsun yang pertama. Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), dijangkakan akan berlaku empat hingga enam episod luruan monsun sepanjang MTL ini,” katanya.

Tambah beliau, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) sudah menyelaras arahan agar semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk memastikan kesiapsiagaan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Ini termasuk pengurusan jentera petugas, aset dan logistik,” katanya. 

Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini di MET Malaysia menerusi laman web rasmi jabatan itu, www.met.gov.my.

“Maklumat terkini situasi banjir boleh diperolehi melalui talian hotline MET Malaysia 1300221638. Orang ramai juga boleh melayari portal bencana.nadma.gov.my/ms/laporan, facebook @Agensi Pengurusan Bencana Negara dan twitter @NADMA Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya