'Anwar PM negara mana' jadi soalan Who Wants to be a Millionaire di India

‘Anwar PM negara mana’ jadi soalan Who Wants to be a Millionaire di India

AMITABH Bachchan ketika menyoal Nipun Rajan mengenai Anwar Ibrahim dalam program Who Wants to be a Millionaire? versi Hindi di India. - GAMBAR NAJIB BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Awal bulan lalu, tular pembikinan filem biopik, ‘Jalan Masih Panjang’ yang menceritakan kisah hidup perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakonkan oleh Farid Kamil.

Uniknya, cereka kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia arahan sutradara Viva Westi itu bakal ditayangkan di kedua-dua negara berjiran tersebut secara serentak tahun depan.

Bagaimanapun kali ini nama Perdana Menteri ke-10 itu dijadikan antara soalan kuiz untuk program uji minda popular Who Wants to be a Millionaire? versi bahasa Hindi di India pula.

Perkara tersebut didedahkan oleh seorang warganet tempatan yang dikenali Najib Bakar menerusi akaun sosial Facebook dirinya dan turut memuatnaikkan sedutan rancangan itu.

“PMX Anwar jadi soalan dalam Who Wants to be a Millionaire? di India pula,” nukil beliau yang juga tular diperkatakan oleh ramai kalangan pengguna media sosial sejak semalam.

Beliau turut mengajuk dialog terkenal pengacara program popular itu, aktor legenda Bollywood, Amitabh Bachchan sebagai kapsyen klip berdurasi satu minit 35 saat tersebut.

Peserta soalan berkenaan, Nipun Rajan kelihatan berjaya menjawab soalan itu dengan mudah memenangi wang tunai terkumpul sebanyak 640,000 rupee (kira-kira RM34,232).

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, program kuiz mingguan dikenali di India dengan nama versi Hindi itu sebagai Kaun Banega Crorepati telah disiarkan pada 23 Disember lalu.

Rancangan musim ke-14 yang mula ke udara pada tahun 2000 itu dapat ditonton melalui saluran berbayar Sony Entertainment Television dan beribu pejabat di Mumbai, India.

Rajan dilihat tidak berdepan masalah ketika ditanya Bachchan untuk soalan ke-11 itu dengan empat pilihan jawapan iaitu A: Iraq, B: Malaysia, C: Bahrain atau D: Indonesia.

Beliau yang berasal dari New Delhi dengan pantas dan penuh yakin telah memilih opsyen B sebagai jawapan kepada persoalan Anwar menjadi Perdana Menteri di negara manakah.

Namun, beliau tewas soalan ke-12 yang menawarkan hadiah 1,250,000 rupee (RM66,873) dan gagal mara lima pusingan lagi untuk bergelar juara meraih 70 juta rupee (RM3.7 juta).

Ternyata, nama Anwar di luar negara cukup popular dan menjadi antara bahan untuk soalan kuiz televisyen meskipun baru dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.

Who Wants to be a Millionaire? merupakan siaran program mingguan berasal dari British pada 1998 lalu serta direka trio sahabat David Briggs. Mike Whitehill dan Steven Knight.

Kuiz duga akal itu kemudian berkembang pantas secara francais ke seluruh dunia meliputi lebih 100 buah negara dengan pelbagai nama yang berbeza dan versi tempatan tersendiri.

Di Malaysia, rancangan ini pernah ke udara melalui stesen ntv7 dari 2000 hingga 2003 dengan hos Jalaluddin Hassan bagi bahasa Melayu dan Victor Gu untuk versi Mandarin.

Sementara di India pula, program kuiz ini terdapat dalam sembilan bahasa yang berlainan iaitu Bengali, Bhojpuri, Hindi, Kannada, Kashmiri, Malayalam, Marathi, Tamil dan Telugu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya