JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja pertamanya ke negeri ini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun memulakan lawatan kerjanya dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 9.55 pagi.
Kenderaan jenis Audi berwarna keemasan yang dinaiki beliau kemudian dilihat memasuki pekarangan istana pada pukul 10.30 pagi.
KENDERAAN membawa Anwar Ibrahim memasuki Istana Bukit Serene di Johor Bahru.
Terdahulu, Sultan Ibrahim tiba di istana berkenaan pada pukul 9.34 pagi, sebelum Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba 10 minit kemudian.
Pertemuan antara pemimpin tertinggi negara itu bersama kepimpinan negeri dipercayai bagi membincangkan soal kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara serta kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.
Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta beberapa gabungan parti lain membuat perjanjian kerjasama bagi menubuhkan kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selepas sesi menghadap, Anwar dijadualkan menikmati makan tengah hari di restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96, di Kampung Melayu Majidee.
Kemudian, Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara.
Kali terakhir Pengerusi PH itu berkunjung ke negeri ini ketika berkempen pada PRU15, November lalu. – UTUSAN