PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan dijangka berlaku di negeri-negeri Utara dan Pantai Timur Semenanjung serta Timur Sabah sehingga Ahad ini.
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, ia susulan luruan monsun dijangka berlaku di rantau negara ini sehingga 25 Disember depan, berdasarkan analisis model-model cuaca.
“Justeru, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 21 Disember 2022.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan sedang berkuat kuasa sehingga 22 Disember 2022.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN