Al Jufferi kesal, gagal bantu lahirkan pengganti

Al Jufferi kesal, gagal bantu lahirkan pengganti

MOHD. AL JUFFERI JAMARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara dunia silat empat kali, Mohd. Al Jufferi Jamari meluahkan kekesalan kerana gagal membantu negara untuk melahirkan pesilat pelapis yang dilihat mampu untuk menggantikan dirinya, sebelum ini.

Menurut pesilat profesional itu, dia berdepan cabaran mencari golongan pelapis baharu khususnya melibatkan individu yang mempunyai semangat dan konsistensi untuk mempertahan sesuatu kejuaraan.

Menurut beliau, setiap atlet perlu mempunyai sifat sentiasa ‘lapar’ kejayaan untuk memastikan mereka terus konsisten di peringkat tertinggi.

“Saya sedikit kesal, kerana tidak dapat membantu menyediakan pesilat pelapis setelah membuat keputusan untuk berundur diri daripada mewakili negara dalam sukan ini.

“Kalau tanya saya, adakah pesilat pelapis yang boleh menggantikan tempat saya, sejujurnya masih belum ada, kerana kalau hendak menang, semua atlet boleh menang, tetapi untuk mempertahankan kejuaraan itu susah. 

“Maksudnya dari semangat dan keupayaan diri apabila menang itu bagaimana hendak dikekalkan, tawaduk dan terus merendah diri, yang itu kebanyakannya tiada,” katanya kepada pemberita selepas Kejuaraan Pencak Silat Enam Penjuru di Stadium Tertutup EduCity, di sini semalam.

Tambah Al Jufferi, antara cabaran utama adalah peredaran zaman dan perubahan corak pemikiran generasi muda ketika ini yang berbeza dengan corak pemikiran generasi terdahulu.

“Zaman sekarang bukan seperti zaman saya dahulu, dahulu kalau hendak berjaya kena usaha sendiri, sebab dahulu kita belajar dari susah dan senang kemudian. Zaman sekarang atlet perlu diberikan sokongan dan dorongan pihak ketiga.

“Saya berlatih empat tahun, tidak sertai mana-mana pertandingan hanya untuk menjadi seorang juara yang terus berkekalan. Selama empat tahun latihan dan 15 tahun dalam dunia silat untuk wakili negara, jadi secara keseluruhan 19 tahun saya terlibat dalam sukan ini, itu tempoh yang sangat panjang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Al Jufferi turut memberitahu, selain terlibat dengan beberapa penggambaran filem selepas bersara, beliau turut terlibat dalam penghasilan pakaian pelindung badan silat elektronik yang mempunyai sensor dengan kerjasama Persekutuan Silat Melayu Netherlands.

Menurutnya, usaha itu diharap dapat memudahkan pengadilan sukan silat dalam sesuatu pertandingan memandangkan penilaian mata selama ini diberikan oleh juri atau pengadil.

“Sukan silat ini sangat subjektif dan sensitif dalam pengadilan, jadi saya rasa perlu ada ‘body protector’ yang mana jika atlet itu melakukan tendangan atau pukulan, mata akan dikira sendiri secara automatik.

“Ini seperti yang digunakan dalam sukan taekwondo, namun untuk silat masih belum ada, jadi saya berharap inisiatif ini berhasil dan akan dapat mengangkat lagi seni silat ke tahap lebih tinggi, sebaris dengan seni pertahanan diri lain seluruh dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN