Aktifkan semula 3 pasukan khas PDRM - Utusan Malaysia

Aktifkan semula 3 pasukan khas PDRM

PASUKAN Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dibubarkan kerajaan terdahulu termasuk Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG); Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengaktifkan semula tiga Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibubarkan pada era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, tiga pasukan khas itu ialah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG); Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang dilihat berupaya menangani kegiatan jenayah terancang di negara ini.

Menurut beliau, pembubaran ketiga-tiga pasukan taktikal khas polis itu merupakan satu kesilapan besar selepas lima tahun ia ditubuhkan walaupun ia dianggap berlaku pertindihan fungsi jabatan-jabatan PDRM yang sedia ada.

Sedangkan, kata beliau, skuad elit itu mampu berfungsi memburu dan menangkap ‘jerung-jerung’ yang menjadi dalang berbanding menahan ‘ikan bilis’ yang mana STAFOC berkemampuan menangani jenayah terancang seperti membabitkan sindiket rompakan bank atau penculikan.

STAGG pula bertindak melawan kumpulan gengster antarabangsa dan tempatan, maksiat, judi dan pertubuhan kongsi gelap, manakala STING untuk memburu ketua sindiket dadah serta melawan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan.

Ketiga-tiga pasukan ini pernah digabungkan dalam Op Cantas Khas bagi menangani kegiatan kongsi gelap dan pembunuh upahan pada 2016.

“Mungkin ramai yang tidak tahu tentang pelbagai kegiatan jenayah terancang yang bukan sahaja melibatkan orang dalaman di agensi-agensi penguatkuasaan, tetapi ada yang melibatkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan kementerian.

“Pengaktifan semua unit-unit elit dalam PDRM serta unit agensi gabungan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) adalah amat baik. Walaupun kes-kes jenayah biasa bukan berat dilihat agak menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi statistik berkaitan jenayah terancang sukar untuk dihitung kerana aktiviti-aktiviti mereka agak terlindung dan jarang dibongkar,” katanya di sini semalam.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan kes jenayah komersial yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2021 meningkat 15.3 peratus kepada 31,490 kes berbanding 27,323 kes tahun sebelumnya.

Kes tipu merekodkan bilangan tertinggi sebanyak 28,842 kes atau 91.6 peratus, diikuti pecah amanah (942 kes), kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (847 kes), jenayah siber (400 kess) dan wang palsu (204 kes).

Bagi jenayah seksual melibatkan mangsa berumur 18 tahun dan ke bawah pula, meningkat 0.9 peratus daripada 1,481 kes pada 2021 daripada 1,468 kes tahun sebelumnya.

Erwan berkata, jenayah terancang seperti judi online, penipuan atas talian dalam pelbagai bentuk sama ada produk atau perkhidmatan, pelacuran, kutipan wang perlindungan premis-premis perniagaan, pengedaran narkotik, pengutip hutang secara kekerasan, penyeludupan, penculikan dan beberapa lagi aktiviti jenayah memerlukan satu pasukan khas menanganinya.

Katanya, aktiviti-aktiviti ini biasanya dilakukan secara berkoordinasi oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap dalam lingkungan yang sama dan mereka juga tidak segan untuk menggunakan wang bagi membayar kos perlindungan aktiviti mereka kepada pegawai-pegawai tinggi agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Erwan turut menggesa langkah membanteras rasuah dan korupsi harus bersekali dengan tindakan pembersihan seluruh jentera kerajaan terutamanya agensi-agensi penguatkuasaan.

Katanya, ramai yang berpendapat bahawa ketidakcekapan agensi adalah disebabkan masalah lama atau sedia ada yang sudah bertapak terlalu dalam, sehinggakan seolah-olah wujud ‘little kingdom’ yang beroperasi dengan sendirinya.

Justeru, katanya, jawatankuasa atau suruhanjaya bebas yang memantau agensi penguatkuasaan harus diperkasakan Perdana Menteri dengan sokongan semua pihak.

“Menteri Dalam Negeri dengan sokongan Perdana Menteri iaitu sebahagian dalam rencana Reformasi Institusi dalam penambahbaikan semua jabatan dan agensi kerajaan sedia ada.

“Suruhanjaya sedia ada boleh lebih diperkasakan melalui penambahan bidang kuasa atau melantik ahli Parlimen dalam jawatankuasa tersebut termasuk dari blok pembangkang sebagai semak dan imbang yang merupakan suara tambahan bagi sesuatu kritikan yang membina.

“Peredaran wang-wang haram juga boleh menyebabkan korupsi meningkat. Peranan kerajaan adalah sangat penting dalam menangani perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya