fbpx

Akid curi tumpuan, Shafiq Rasol terlepas penamat sempurna di Batu Kawan

AKID Aziz (tengah) berjaya mengungguli saingan penutup Kejuaraan Malaysia Cub Prix yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN

BATU KAWAN: Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Akid Aziz mencuri tumpuan apabila berjaya mengungguli penutup Kejuaraan Malaysia Cub Prix di Batu Kawan, hari ini.

Bermula perlahan, Akid yang dicabar pemenang keseluruhan Kategori Perdana Cup Prix, CP150 iaitu Ahmad Afif Amran daripada pasukan Yamaha CKJ Racing, bangkit menguasai perlumbaan hingga menuju ke garisan penamat.

Tempat kedua bagi ketegori tersebut menjadi milik pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar manakala Kasma Daniel Kasmayudin daripada Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor berpuas hati di tempat ketiga.

Ahmad Afif yang bermula agak garang bagaimanapun gagal menaiki podium selepas terjatuh pada pertengahan perlumbaan.

Menurut Akid, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk menjuarai pusingan ke-10 di Batu Kawan itu sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan kejayaan penutup ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pasukan saya.

“Walaupun saya sendiri merasakan permulaan saya agak goyah, namun saya bersemangat untuk berlumba hingga tamat saingan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Hadir menyaksikan kejohanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Shafiq Rasol yang baharu dinobatkan sebagai juara CP125 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) awal bulan lalu sekadar menamatkan saingan di tempat kedua pada pusingan terakhir ini.

Shafiq ketika ditemui memberitahu, saingan pusingan akhir kali ini sangat sengit dan dia berpuas hati walaupun terpaksa mengakhiri perlumbaan selaku naib juara.

“Saya cuba untuk memotong hingga ke pusingan yang terakhir dan berjaya juga menaiki podium walaupun bukan sebagai juara,” katanya.

Pusingan tersebut diungguli oleh pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Syafiq Rosli manakala Hafiza Roza dari pasukan ONEXOX TKKR Racing pula menamatkan saingan di tempat ketiga. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN