Ahli perniagaan bebas tuduhan terima deposit hampir RM1 juta

Ahli perniagaan bebas tuduhan terima deposit hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menerima deposit wang hampir RM1 juta tanpa lesen yang sah daripada seorang pakar perunding kardiologi, empat tahun lalu.

Hakim Datin Sabariah Othman memutuskan demikian terhadap T. Harikumar, 44, tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah berpuas hati, wujud keterangan berdokumen yang jelas bagi menyokong pembelaan bahawa wang yang dinyatakan dalam pertuduhan bertujuan untuk mengembangkan perniagaan ahli perniagaan itu.

Kes pendakwaan adalah Harikumar menerima deposit bernilai hampir RM1 juta tanpa lesen sah daripada doktor pakar itu manakala kes pembelaan adalah wang berkenaan merupakan pinjaman kepada tertuduh.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan selama empat hari yang bermula pada 18 Ogos lalu.

Pada 14 September 2021, Harikumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang deposit RM999,500 daripada doktor berkenaan tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Abdullah, Bangsar di sini antara 1 Ogos 2018 dan 26 Februari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137(1) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala pasukan pembelaan dianggotai oleh peguam-peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk C. Vignesh Kumar serta dibantu oleh Daniel Annamalai dan Yaw Xinying. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya