7 rang undang-undang cadangan hukuman gantian mati mandatori

7 rang undang-undang cadangan hukuman gantian mati mandatori

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk meminda akta-akta berkaitan dan mengemukakan tujuh Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mesyuarat Kabinet hari ini meneliti dan membincangkan semula mengenai cadangan tersebut.

Katanya, tujuh RUU itu adalah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Penculikan (Pindaan) 2022; RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022; RUU Senjata (Pindaan) 2022 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet kerana bersetuju untuk meneruskan usaha penyemakan undang- undang berkaitan dengan hukuman mati mandatori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara meneliti dasar pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori melibatkan 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebagaimana peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

Selain itu, katanya, turut diteliti ialah 23 kesalahan yang membawa hukuman mati tertakluk budi bicara Mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 dan Akta Penculikan 1961.

Jelas beliau, penangguhan pelaksanaan hukuman mati (moratorium) masih dikekalkan bagi pesalah hukuman mati sehingga semua pindaan RUU tersebut dilaksanakan.

“Pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini dijangka memberi kesan langsung kepada seramai 1,327 orang banduan yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, manakala bagi lain-lain individu yang belum dituduh, hukuman gantian terhadap hukuman mati boleh dikuatkuasakan secara prospektif.

“Saya ingin menekankan bahawa pindaan undang-undang yang berkaitan tidak memansuhkan hukuman mati sepenuhnya tetapi memberi budi bicara kepada mahkamah untuk memutuskan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes.

“Pelaksanaan cadangan hukuman gantian ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara,” ujarnya.

Tambahnya, RUU berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori itu dijangka dibentangkan di sidang Parlimen pada Februari 2023.

Azalina berkata, kerajaan juga mempertimbangkan kajian susulan Fasa 2 yang melibatkan pembaharuan sistem keadilan jenayah seperti dasar penghukuman (sentencing policy) yang lebih berkesan, hukuman sebatan dan pembaharuan sistem penjara yang merangkumi langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan penjara.

“Fokus juga akan diberi terhadap pendekatan hukuman yang berteraskan pemulihan dan keadilan restoratif (restorative justice),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya