6 langkah tangani kes Covid-19 meningkat susulan isu di China

6 langkah tangani kes Covid-19 meningkat susulan isu di China

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggariskan enam langkah bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 susulan kebimbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap perkembangan semasa di China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah-langkah yang digariskan sama seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Enam langkah itu, katanya, pertama, meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian dan dalam masa sama, semua individu yang layak digesa tampil mendapatkan vaksin dos penggalak.

“Selain itu, mengukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan melalui penambahbaikan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan melalui aplikasi MySejahtera.

“Bagi langkah ketiga, semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi secara fizikal di Klinik Kesihatan dan komuniti mahupun secara maya bersedia untuk menerima kedatangan atau panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan pegawai dan pakar kesihatan global cemas melihat Covid-19 melonjak dengan ketara sejak kebelakangan ini dalam kalangan 1.4 bilion penduduk China.

Mereka bimbang kerana sebahagian besar penduduk tidak diberi vaksin secukupnya dan mungkin tidak mempunyai peralatan penjagaan kesihatan untuk merawat gelombang penyakit yang dijangka membunuh lebih sejuta orang, menjelang 2023.

Noor Hisham berkata, langkah seterusnya ialah ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) diperkenalkan melaui Covid-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April lalu dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, CAC dan hospital KKM sebelum diperluaskan kepada swasta pada 20 Jun lalu.

Katanya, ubat ini merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit yang mengalami gejala ringan hingga sederhana, atau kategori dua dan tiga di mana keutamaan pemberian kepada kumpulan pesakit berisiko tinggi.

“Langkah kelima, pihak KKM memantau rapi penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara. Ia turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh bagi mengesan varian baharu serta aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara.

“Langkah keenam, inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) digerakkan sejak awal tahun ini di semua peringkat yang bertujuan memperkasa kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata, ANMS memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dalam membudaya hidup sihat melibatkan Malaysian Health Community Agent iaitu satu platform kolaborasi merentasi pelbagai kementerian, organisasi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Usaha ini sebagai rakan strategik untuk memainkan peranan membantu KKM dalam inisiatif dan aktiviti promosi kesihatan di peringkat komuniti serta sebagai penggerak dan penyokong.

“Keperluan penyelarasan sukarelawan dan agen kesihatan amat penting bagi membolehkan inisiatif ini dilaksanakan secara bersepadu dan terancang,” katanya.

Mengulas mengenai fungsi CAC, Noor Hisham berkata, ia bagi mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah serta menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.

“Ia memulakan rawatan Paxlovid® kepada kumpulan pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi dan memenuhi kriteria yang ditetapkan serta mengenal pasti dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk ke hospital.

“Malah ia juga menjalankan penilaian dan pelepasan kepada kes positif yang tamat tempoh pengasingan bagi individu yang tidak menerima digital HSO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya