PETALING JAYA: Kes kanak-kanak dan remaja yang dilapor hilang amat membimbangkan walaupun 80 peratus kes terbabit dikaitkan dengan mangsa keluar rumah untuk mencari keseronokan dan kebebasan.
Kehilangan mereka kebanyakannya bukan sebab `diculik’ tetapi meninggalkan rumah dengan sukarela.
Mengikut statistik pada 2020 hingga September lalu, sebanyak 2,066 kanak-kanak hilang dilaporkan dan daripada jumlah tersebut, kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun adalah kumpulan paling ramai hilang iaitu 1,119 orang diikuti 16 hingga 18 tahun (793), bawah enam tahun (105) dan tujuh hingga 12 tahun (109).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan analisis, punca tertinggi mangsa hilang kerana mengikut kawan iaitu 422 kes diikuti mahu mencari kebebasan (413) dan selebihnya ikut kekasih (364).
Menurutnya, dalam tempoh sama, pihaknya mengesan sebanyak 290 kes kanak-kanak hilang kerana mempunyai salah faham dengan keluarga manakala 48 kes kerana mencari kerja diikuti tidak minat belajar (12) dan kurang perhatian keluarga (10).
“Walaupun hampir 90 peratus kes dapat ditemukan semula, ibu bapa dan penjaga tidak boleh mengambil sikap sambil lewa kerana peringkat umur 13 hingga 15 tahun masih boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak. Mereka tidak boleh berfikir dengan matang dan boleh dieksploitasi pihak tertentu.
“Secara tidak langsung mereka boleh terdedah dengan ancaman jenayah seperti kes kecurian atau penyalahgunaan dadah. Ini bukan perkara remeh-temeh dan perlu diambil perhatian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Siti Kamsiah berkata, selain keluar secara sukarela, terdapat kes kanak-kanak hilang disebabkan dilarikan penjaga yang sah antara ahli keluarga termasuk ibu bapa angkat iaitu 32 kes manakala kes dilarikan kenalan atau individu tidak dikenali adalah dua kes dalam tempoh tiga tahun hingga September lalu.
Ujar beliau, selain itu, dalam tempoh sama, sebanyak 60 kes dilaporkan akibat kemalangan antaranya hilang di sungai atau laut iaitu 46 kes; hilang di hutan (2); jumpa mati (10), dibaham buaya dan hilang di kebun kelapa sawit masing-masing satu kes.
“Dalam tempoh tersebut, kita menerima sebanyak 20 laporan kanak-kanak hilang akibat lari dari pusat kebajikan kanak-kanak manakala 36 kes lagi kerana dipercayai lari daripada sekolah.
“Sebanyak 344 kes akibat tidak diketahui punca dan lain-lain. Malah, ada juga kes disebabkan kes jenayah seperti penderaan dan menculik namun tiada kes dilaporkan dalam tempoh tiga tahun ini.
“Hanya 10 peratus kes yang tidak dapat diselesaikan kerana tidak menemui petunjuk, contohnya dipercayai lemas atau sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siti Kamsiah turut menegaskan, tiada sebarang kes culik melibatkan tujuan mencuri dan menjual organ atau dibawa ke negara jiran seperti tular bulan lalu sehingga menimbulkan panik terhadap orang ramai. – UTUSAN










