14 alasan mengapa Ahmad Zahid wajar bela diri atas 40 pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

14 alasan mengapa Ahmad Zahid wajar bela diri atas 40 pertuduhan rasuah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf ketika mencapai dapatan berkaitan pemberian dan penerimaan wang secara rasuah sewaktu membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti, tiga bulan lalu.

Pihak pendakwaan berpendirian, hakim bicara terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah atau elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), walhal terdapat keterangan lisan dan berdokumen yang kukuh untuk membuktikannya.

Tegas pendakwaan, hakim berkenaan juga tersalah arah ketika menolak keterangan mengenai penghantaran rasuah kepada Timbalan Perdana Menteri apabila membuat perbandingan fakta antara kes tersebut dengan kes solar hibrid yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Pendakwaan selaku perayu terkilan dengan keputusan tersebut dan merayu agar Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahmad Zahid dan seterusnya memanggilnya membela diri terhadap kesemua pertuduhan.

Demikian sebahagian daripada 14 alasan yang terkandung dalam petisyen rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan, semalam.

Pendakwaan merayu keputusan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa yang membebaskan Presiden UMNO itu daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem VLN dan pusat sehenti di China.

Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk kali kedua selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menerajui Kerajaan Perpaduan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Alasan lain adalah hakim bicara terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mencapai dapatan bahawa keterangan saksi pendakwaan ke-17 adalah suatu yang difikirkan semula (afterthought) hanya kerana keterangan berkaitan penyerahan RM3 juta tidak dinyatakan dalam pernyataan bertulis saksi itu.

Pendakwaan turut menyatakan, hakim berkenaan terkhilaf apabila gagal mengambil kira bahawa saksi-saksi pendakwaan tiada sebarang motif jahat atau motif terselindung ketika memberi keterangan berhubung pemberian dan penghantaran wang tunai kepada Ahmad Zahid.

Hakim berkenaan juga tersalah arah apabila memutuskan pertuduhan-pertuduhan adalah cacat kerana tidak mengandungi butiran mengenai identiti individu-individu yang membuat penyerahan wang kepada Ahmad Zahid, sedangkan kehendak butiran sedemikian tidak diperuntukkan dalam undang-undang.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat UKSB berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Ahmad Zahid dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim Mohd. Yazid berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 69, didakwa atas 33 pertuduhan menerima suapan S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya