fbpx

Wani Kayrie minta tips Ernie Zakri nyanyi Berakhirlah Penantianku

SHAH ALAM: Menggantikan tempat penyanyi asal, Hafiz Suip dan Ernie Zakri menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku memberikan tekanan buat penyanyi baharu, Ahmad Syafiq dan Wani Kayrie sebelum beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37) pertama, petang tadi.

Menurut Wani, mereka berdua hanya mempunyai masa seminggu untuk berlatih dan menguasai lagu itu dengan baik sebelum dipersembahkan secara langsung.

Jelasnya, lagu ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik yang ditulis oleh Datuk A. Aida itu perlu disampaikan mengikut melodi asal.

“Memang gemuruh sebab penonton menantikan persembahan kami yang menggantikan tempat penyanyi asal. Alhamdulillah, tekanan itu hilang sendiri ketika kami menyanyi.

“Kami berpuas hati dapat menyampaikan mesej lagu ini dengan seikhlas hati. Wani ada rujuk dan mesej Kak Ernie untuk minta tips. Kak Ernie cuma berpesan menyanyi dengan ikhlas dan anggap ia seperti lagu kami sendiri,” katanya.

Sebanyak 18 lagu berentap pada persaingan pertama SFMM37, manakala baki 12 lagu lagi akan berentap esok bagi menentukan 12 lagu layak mara ke kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37).

SFMM37 pertama menyaksikan pertarungan lagu Sempurna nyanyian Imsomniacks; Berani (Dolla); Esok (Amir Masdi), Tak Sangka (Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir); Takluk Cinta (Puteri Khareeza); Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos); Nang (Iman Troye) dan Payung Pelangi (Noki & MK).

Turut bertanding Cukup Derita Itu (Siti Nordiana); Perempuan (Jaclyn Victor); Damba (Khai Bahar); Hitam Saksi Putih (Haqiem Rusli); Satu Malam di Temasek (Sonaone & Joe Flizzow); Mainan (Naim Daniel); Demi Kamu (Indah Ruhaila), Makuta (Hazama, Kmy Kmo & Luca Sickta) serta Kembali Terang (Marsha Milan).

SFMM37 dihoskan Muaz Mohamed dan Izzue Islam serta bersiaran langsung selama dua hari dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN