Vida mengaku tak bersalah muat naik video sumbang

[VIDEO] Vida mengaku tak bersalah muat naik video sumbang

VIDA tiba di Kompleks Mahkamah Sepang di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ahli perniagaan, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik dan menghantar video bersifat sumbang di laman Youtube, April lalu. 

Vida, 51, yang memakai jubah berwarna merah jambu itu membuat pengakuan tersebut dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. 

Mengikut pertuduhan, dia secara sedar melakukan kesalahan memuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video sumbang sifatnya menggunakan perkhidmatan akaun YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Vida didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 April lalu yang dilihat pada 5 Mei, kira-kira pukul 11.06 pagi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cyberjaya.

VIDA ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Sepang atas pertuduhan memuat naik dan menghantar video bersifat sumbang di laman Youtube, April lalu. – VIDEO OLEH KAMARIAH KHALIDI

Dia selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588). 

Jika sabit kesalahan, Vida boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Adnan Seman yang mewakili Vida merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 berikutan ia merupakan kali pertama anak guamnya dituduh di mahkamah. 

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Ahmad Fuad kemudiannya membenarkan Vida diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk serahan dokumen. 

Pada 12 Mei lalu, Vida dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SKMM bagi membantu siasatan berhubung video muzik raya yang mencetuskan kontroversi. 

Konsep video muzik bertajuk ‘Muah Muah Raya’ yang diketengahkan usahawan itu dikritik warga maya selepas ia dianggap seolah-olah tidak menghormati sambutan Aidilfitri kerana turut menampilkan unsur ‘drag queen’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya