MELAKA: Pemilihan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah langkah tepat dan wajar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran UMNO, Datuk Md. Sirat Abu membayangkan peluang BN merampas kembali kerusi berkenaan yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU13 dan PRU14 adalah cerah.
Beliau berkata, maklum balas masyarakat di Hang Tuah Jaya sangat positif dan mereka mengalu-alukan pemilihan Mohd. Ridhwan.

“Mohd. Ridhwan adalah pemimpin muda yang berjiwa besar, saya kenal dia sejak bangku sekolah. Dia sangat menghormati orang dan sifat peribadinya sangat baik.
“Setakat ini saya berjumpa dengan orang ramai, rata-rata mereka menyokong penuh Mohd. Ridhwan dan mahu dia menang pada PRU15 ini,” katanya ketika ditemui.
Mohd. Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, Adam Adli Abd. Halim, Mohd. Azrudin Md. Idris (Perikatan Nasional) dan Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Gerakan Tanah Air).
Dalam pada itu, bekas calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Yunus Hitam yakin BN mampu merampas kembali Hang Tuah Jaya atas faktor calon diletakkan adalah tepat dan diterima seluruh lapisan masyarakat.
“Rata-rata penduduk setempat memang mahukan anak sulung Mohd. Ali itu diletakkan sebagai calon kerana penampilannya cukup disenangi semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN