PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad bersyukur dengan hadiah umur panjang dikurniakan Allah kepadanya yang beliau percaya nikmat itu dapat digunakan untuk membantu negara dan bangsa.
Itu reaksi bekas Perdana Menteri ketika ditanya mengapa beliau pada usia 97 tahun masih aktif berpolitik.
Beliau berkata, nikmat umur panjang perlu digunakan dengan kerja kebajikan dan menggunakannya untuk melakukan sesuatu berdasarkan kebolehan diri sendiri.
“Apabila kita dapat sesuatu hadiah daripada orang, kalau kita betul-betul bersyukur dan berterima kasih, kita guna hadiah itu dengan baik.
“Saya hidup untuk apa? Tak kan nak makan tidur saja atau fikir tentang diri saja? Kalau saya ada kebolehan yang boleh membantu negara dan bangsa saya, saya rela habiskan masa saya untuk kerja kebajikan kepada rakyat. Bagi saya itu pun satu ibadat.
“Kalau kita dapat umur panjang kita duk (asyik) kira nak mati saja, saya tak tahu apa pendapat wartawan, tapi saya masih boleh fikir, boleh jawab, boleh bercakap, boleh bergerak, jadi tak kan saya nak pi tidur,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini semalam.
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berpendapat, beliau ‘bernasib baik’ diberi umur melebihi apa yang dijangkakan dan ia berkemungkinan kerana tidak menghidap penyakit kronik seperti kanser.
“Saya berpendapat kalau saya berumur 75 tahun cukup lah. Tapi saya dapati saya masih boleh. Sebab apa, pertamanya saya bernasib baik tak dapat penyakit yang mematikan umpamanya saya tak dapat kanser.
“Saya dapat sakit jantung, tapi sakit jantung sekarang ini ada pembedahan boleh ada ubat. Saya dua kali bedah dada. Tapi lepas itu saya boleh bergerak, boleh bercakap, boleh fikir, tak ada nampak tua dan nyanyuk. tak tahu lah awak fikir saya nyanyuk ke tidak.
“Tapi saya boleh berfikir, cara hidup saya pun sederhana, saya tak melampau. Umpamanya kalau saya makan tak lah makan sampai jadi gemuk. Jadi kena ada sikit senaman dan sebagainya. Saya tak hisap rokok, saya tak minum arak. Jadi semua ini barangkali menyumbang kepada umur yang lebih panjang,” katanya. – UTUSAN










