ALOR SETAR: Walaupun tidak tersenarai sebagai calon, UMNO Bahagian Alor Setar berikrar membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) yang diwakili rakan komponen mereka, MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Alor Setar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, jentera UMNO di Parlimen itu sudah digerakkan sejak seminggu lalu bagi menggempur Alor Setar termasuk kubu lawan.
“Kita sebagai orang parti ini akur apabila pucuk pimpinan sudah buat keputusan (pemilihan calon). Kita terus membantu BN sehingga memenangi Alor Setar. Jentera sudah digerakkan dan lepas ini kita terus gempur untuk pastikan semua undi berpihak kepada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir memberi sokongan kepada calon BN, Tan Chee Hiong ketika proses penamaan calon di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, di sini, kelmarin.
UMNO Bahagian Alor Setar sebelum ini mendesak agar kerusi Parlimen tersebut diserahkan kepada parti itu memandangkan majoriti pengundi di kawasan itu adalah kaum Melayu.
Sementara itu, perarakan calon BN sempena penamaan tersebut mencuri tumpuan dengan kehadiran beberapa ‘otai’ atau pemimpin veteran gabungan itu yang hadir untuk memberi sokongan.
Mereka antaranya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Chor Chee Heung yang pernah menyandang Parlimen itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof tidak menafikan pertembungan tujuh penjuru di Parlimen Alor Setar memberi kelebihan kepada BN terutama ketika diramalkan berlaku perpecahan undi kaum Melayu selain pengundi Cina yang akan kembali kepada gabungan itu.
“Kali ini ada sedikit kelainan berbanding PRU lepas. Kalau PRU14 ada pertandingan tiga penjuru sahaja pada kali ini melihat ada pertambahan kerana selain BN ada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA), Warisan dan Nebas.
“Jadi tiga daripada empat gabungan ini adalah parti berteraskan Melayu, kita jangka ada sedikit perpecahan dalam undi Melayu. Tetapi kita tengok kelebihan nampak ramai penyokong MCA hadir dan kita juga yakin orang Cina akan kembali kepada BN,” katanya.
Selain Chee Hiong, enam calon lain mencuba nasib berentap di Parlimen Alor Setar ialah Simon Ooi Tze Min (PH-PKR), Afnan Hamimi Taib Azamudin (PN/Pas), Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat (GTA/Pejuang) dan Datuk Fadzil Hanafi (Warisan).
Tidak ketinggalan dua calon Bebas iaitu Datuk Nordin Yunus yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan Sofan Feroza Md. Yusup mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Pada PRU14, Parlimen Alor Setar dimenangi oleh Chan Ming Kai daripada PKR setelah mengalahkan calon BN, Yoo Wei How dan Aminur Shafiq daripada Pas dengan majoriti 15,200 undi. Namun, Ming Kai digugurkan dalam pencalonan kali ini setelah PH memilih untuk mengetengahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang. – UTUSAN









