Tony Pua, Bee Yin diperintah bayar RM350,000 kepada Mei Fun

Fitnah: Tony Pua, Bee Yin diperintah bayar RM350,000 kepada Mei Fun

TONY PUA dan YEO BEE YIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemimpin DAP, Tony Pua dan Yeo Bee Yin diperintahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 kerana memfitnah bekas Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berhubung pembelian sebidang tanah di sekitar 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Roslan Abu Bakar turut memerintahkan Tony atau nama penuhnya Tony Pua Kiam Wee dan Bee Yin untuk membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Mei Fun.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Roslan mendapati, Mei Fun yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya membuktikan bahawa kedua-dua pemimpin DAP itu telah memfitnahnya dalam artikel yang diterbitkan di akhbar The Malay Mail dan Nanyang Siang Pau.

Artikel-artikel berbair fitnah itu juga turut diterbitkan di portal Free Malaysia Today (FMT) dan laman sosial Facebook milik Bee Yin pada September 2017.

“Saya dapati kedua-dua defendan (Tony dan Bee Yin) tidak pernah membuat pengesahan bagi memastikan plaintif (Mei Fun) adalah sebahagian daripada Jawatankuasa Tanah Daerah dan sama ada tanah yang digunakan untuk penanaman buah naga dan dirujuk oleh defendan benar-benar terlibat dalam pembelian itu.

“Saya bersetuju dan percaya bahawa kenyatan-kenyataan yang dibuatdefendan adalah demi kepentingan awam. Namun, selepas membaca keseluruhan artikel, saya dapati wujud elemen niat jahat kerana kenyataan-kenyataan terbabit dibuat dengan cuai, tanpa mengambil kira sama ada ianya benar atau tidak dan tiada tindakan yang diambil bagi memastikan kebenarannya.

“Oleh itu, pembelaan kedua-dua defendan tidak boleh dipertahankan,”kata Hakim Roslan.

Oleh itu, mahkamah mengarahkan Tony untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 manakala Bee Yin diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM150,000.

Pada prosiding hari ini, Mei Fun diwakili peguam, Rueben Mathiavaranam manakala Tony dan Bee Yin diwakili peguam, Syahredzan Johan. 

Menurut saman yang difailkan pada Mac 2018, Mei Fun mendakwa Tony dan Bee Yin telah mengeluarkan beberapa pernyataan berbaur fitnah terhadapnya berhubung pembelian tanah Oleh MCA Selangor di Kampung Cempaka, Petaling Jaya di bawah harga pasaran.

Menurut pernyataan tuntutannya, kenyataan-kenyataan fitnah tersebut telah menggambarkan beliau sebagai seorang yang korup, menyalahgunakan kuasanya dan merupakan seseorang yang tidak mempunyai etika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya