PETALING JAYA: Hanya akan berlangsung pada 20 Januari depan, namun penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan sudah mampu berlapang dada apabila tiket konsertnya laris mendapat permintaan peminat.
Lebih mengejutkan, tiket paling mahal berharga RM1,292 untuk konsert yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu laris terjual.
Menerusi tinjauan di portal jualan, tiket berharga RM222 hingga RM262 juga habis ditempah dan hanya tiket pada bahagian Diamond (B), Platinum (C) dan Gold (D) berharga antara RM592, RM692 dan RM792 masih dibuka kepada orang ramai.
Konsert Cakra Khan A Decade Live in Kuala Lumpur itu bakal menampilkan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik.
Dianjurkan Seven Skies Motion, konsert itu turut diserikan kemunculan artis jemputan seperti Aina Abdul, Ade Govinda dan Khai Bahar.
Mengulas perkara itu, Cakra berkata, peluang mengadakan konsert sulung di negara ini adalah impian besar yang sememangnya dinanti-nantikan selama ini.
Namun, penyanyi yang pernah menghasilkan lagu duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Seluruh Cinta itu akur, hasrat peminat untuk melihat mereka berkongsi pentas pada konsert itu tidak kesampaian.
“Siti tidak dapat bersama menjayakan persembahan kerana mempunyai komitmen lain pada tarikh tersebut. Namun, lagu itu tetap saya nyanyikan dengan artis lain,” katanya.
Sebelum ini, ramai peminat penyanyi Kekasih Bayangan itu melahirkan kekecewaan menerusi Twitter selepas mengetahui tiket paling rendah berharga RM222 habis terjual.