Tah Nia saran guru-guru Sabah sertai YGMB

Tah Nia saran guru-guru Sabah sertai YGMB

TAH Nia Jaman (berdiri, tengah) bersama Aminudin Adam dan Wan Munadi Wan Mamat bergambar bersama penerima sumbangan Khas Ziarah Kasih pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-28 YGMB di Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Penyertaan guru Sabah yang masih rendah dalam Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bukan disebabkan kurang kesedaran dalam kalangan warga pendidik di negeri ini.

Namun, ia lebih kepada akses untuk mendekati guru-guru yang berada jauh di pedalaman yang masih belum terdedah dengan kepentingan mencarum dalam skim-skim yang ditawarkan YGMB.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Tah Nia Jaman berkata, selagi belum sampai kepada guru-guru di pedalaman, tidak boleh disifatkan penyertaan rendah akibat kurang penerimaan dalam kalangan guru.

Sebaliknya, guru-guru itu harus diberi kefahaman tentang manfaat dan kebaikan yang diperoleh melalui penyertaan sebagai ahli YGMB agar mereka boleh dilindungi. 

Maka, usaha perlu dipergiatkan oleh pihak YGMB bagi mendekati sebanyak mana warga pendidikan yang boleh kerana taburan sekolah di Sabah sangat luas.

“Kita harus faham, sekolah-sekolah di Sabah bukan hanya terletak di bandar tetapi juga di luar bandar yang sukar untuk diakses. Jadi, usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi meyakinkan guru-guru berkenaan.

“Mereka harus didekati dan diberi kefahaman tentang apa manfaat yang diperoleh sekiranya mereka menyertai YGMB.

“Kita selalu sebut malang tidak berbau jadi inilah ruang yang ada untuk berkongsi manfaat dengan warga guru serta anggota kumpulan pelaksana sokongan yang lain,” katanya semasa penyerahan sumbangan khas Ziarah Kasih dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-28 YGMB hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini penyertaan guru-guru di Sabah agak baik iaitu lebih 6,000 orang namun, jika boleh ditambahkan lagi agar ramai yang akan menerima manfaat melalui YGMB.

“Menerusi yayasan itu, kebajikan ahli-ahli sama ada mereka yang masih muda mahupun yang sudah hampir bersara akan sentiasa terjamin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, yayasan itu mahu agar semua guru menjadi ahli yayasan tersebut namun, tiada paksaan kepada guru-guru untuk menyertai YGMB.

Di seluruh negara, penyertaan keahlian YGMB mencecah kira-kira 130,000 orang dan jumlah itu masih kecil berbanding jumlah keseluruhan guru di Malaysia.

Sejak ditubuhkan sehingga sekarang YGMB telah memberi bantuan kewangan lebih RM22 juta kepada ahli di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya