Sudah tiba masa ATM peroleh kapal logistik MRSS - Panglima

Sudah tiba masa ATM peroleh kapal logistik MRSS – Panglima

YAZID Arshad (tiga dari kanan) diiringi Kapten Mohd. Amin Mat Tahir (dua dari kiri) melihat trak dan ambulans yang dibawa KD Mahawangsa sebelum mereka berlepas ke Lubnan, di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perolehan Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) kini menjadi satu keperluan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dalam aspek mengatur gerak anggota dan kelengkapan ketenteraan dengan lebih efektif.

Ia lebih diharapkan sekarang memandangkan ATM ketika ini hanya bergantung kepada Kapal Bantuan Arahan Pelbagai Peranan (MPCSS) iaitu Kapal Diraja (KD) Mahawangsa dan KD Seri Indera Sakti yang sudah berusia lebih 39 tahun, untuk pelbagai penugasan logistik.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad berkata, keadaan yang ideal ialah masing-masing dua MRSS ditempatkan di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, adalah lebih afdal dan efektif sekiranya pihak pengurusan (negara) dan Kementerian Pertahanan dapat mengambil pertimbangan untuk memperolehi MRSS.

“Ia juga selaras dengan aspirasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi Wawasan 2025 untuk memperkasa aset pasukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan tali KD Mahawangsa bagi ulang bekal Misi Pengaman Malaysia ke Lubnan (Malbatt) 850-10 di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Menurut beliau, selain keperluan pertahanan negara, perolehan MRSS juga boleh dijadikan ekspedisi penghantaran aset dan kelengkapan ketenteraan bagi pelbagai misi lain di luar negara jika keadaan mengizinkan.

Sentimen sama turut dikongsi Pegawai Memerintah KD Mahawangsa, Kapten TLDM Mohd. Amin Mat Tahir, apabila memaklumkan perancangan untuk memperoleh MRSS sudah ada tetapi sehingga kini belum diperolehi dan berharap ia disegerakan.

Menurutnya, keperluan kapal logistik seperti MRSS sangat penting dan ada keperluan terutamanya dalam bantuan dan sokongan terhadap Malbatt serta untuk penugasan dalam mempertahankan keselamatan negara.

Beliau memberi contoh, penugasan kapal MPCSS sedia ada antaranya ialah penghantaran anggota tentera serta kelengkapan ketenteraan ketika Ops Daulat, misi kemanusiaan di Aceh, Sumatera, Indonesia selepas kejadian tsunami serta misi sama di Timor Leste.

Malah, ujarnya, penglibatan MRSS milik ATM jika berjaya diperolehi, boleh digunakan dalam pelbagai misi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di banyak tempat sekali gus memberi imej baik Malaysia di mata dunia.

“Oleh itu, harapan kami kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Pertahanan yang akan dilantik nanti, agar dapat berusaha menukar kapal sedia ada yang sudah berusia dengan pembelian MRSS yang lebih berkemampuan.

“Bagi kami, TLDM dan ATM, kami sentiasa sedia berkorban nyawa memenuhi tanggungjawab dalam memelihara kedaulatan negara, tetapi aset-aset (baharu) sangat penting untuk kita beroperasi,” ujarnya.

Jelas beliau, mengemudi KD Mahawangsa yang sudah berusia untuk beroperasi dalam tempoh lama dan jarak jauh bukan mudah dan sangat mencabar, serta memerlukan sokongan semua pihak khususnya dalam memastikan penyelenggaraan terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya