fbpx

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dilaksana esok

MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) mulai esok sebagai satu usaha menyedia dan membangunkan keselamatan sosial yang komprehensif serta inklusif di negara ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berusia kurang 55 tahun untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR. 

Beliau berkata, caruman itu adalah secara sukarela, namun pihak suami sangat digalakkan mencarum untuk isteri masing-masing. 

Malah, katanya, pihak ketiga termasuk ahli keluarga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh membayar caruman untuk suri rumah. 

“Skop ‘suri rumah’ di bawah akta itu adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau sebaliknya, merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa.

“Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman RM120 setahun secara in advance bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut, serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Perkeso memaklumkan, SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berhadapan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga. 

Jelasnya, pelaksanaan SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) itu menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus bagi golongan wanita dalam pelbagai bentuk skim dan faedah. 

“Aktiviti pengurusan rumah tangga juga tidak terikat dengan rutin seharian dalam rumah, malah ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga antaranya menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta membawa ibu bapa ke janji temu doktor. 

“SKSSR juga menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum,” kata kenyataan itu. 

Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat. 

Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat. 

Permohonan untuk menyertai SKSSR dibuka esok dan orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000 untuk mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN