BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, serangan peribadi ketika berkempen taktik lama dan tidak sesuai dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri berkata, zaman sekarang berbeza erutama dengan peningkatan pengundi muda yang mungkin tidak suka serangan peribadi dan penyebaran maklumat tidak berfakta.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) berkempen berdasarkan fakta berhubung inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan untuk rakyat termasuk tentang Bajet 2023.
“Kita berkempen berlandaskan kepada fakta, kalau mereka (rakyat) pilih kita mereka tahu apa mereka dapat daripada kita.
“Saya pada kali ini (PRU15) tidak fokus untuk serang peribadi sesiapa. Kita bagi produk kita, bagi saya strategi itu yang rakyat hendak lihat ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan di Bilik Gerakan Bandar Kemayan, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pendekatan kempennya kali ini adalah secara santai dengan bertemu rakyat menerusi program Moh Ngeteh dan program makan-makan.
“Ceramah pun saya kurang, kita lebih kepada edar risalah tentang Bajet 2023 dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sejak saya memegang jawatan Perdana Menteri.
“Risalah ini kita edar di seluruh negara, apa yang penting kerajaan buktikan apa telah dilaksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Jelasnya, Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan kerana sudah mempunyai dana.
“Kalau Pakatan Harapan sebelum ini bentang bajet yang terlebih janji, mereka tidak boleh melaksanakannya, macam bajet kita ia sudah ada dana dan menunggu masa dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN