Selesai segera isu rumah generasi kedua Felda

Selesai segera isu rumah generasi kedua Felda

NURHISAM Johari (empat dari kanan) bermesra bersama warga Felda Kertih 2 dan 3 di Dungun, Terengganu, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Tidak mengharapkan wang ringgit dan pembangunan mewah, penduduk di Felda Kertih 2 dan 3 dekat sini, hanya mahu kerajaan baharu yang diberikan mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyelesaikan isu perumahan generasi kedua di Felda tersebut.

Salah seorang peneroka, Mad Nor Othman, 70, berkata, difahamkan projek pembinaan 400 unit rumah untuk generasi kedua di Felda itu telah diluluskan, namun tiada pembinaan dilakukan selepas PRU14.

“Sebelum ini, ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir, projek itu diluluskan malah difahamkan ada kontraktor yang dilantik. Bagaimanapun, projek tidak dilaksanakan hingga hari ini.

“Tapak projek pun sudah ada dan kerja-kerja tambun tanah juga dah dilakukan. Namun ia hanya tinggal tapak dan kami tak tahu apa masalah sebenar yang berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas program Bantuan Asnaf di Felda Kerteh 2, di sini, semalam.

Pada program itu, calon BN Parlimen Dungun, Nurhisam Johari turun padang menyantuni warga Felda.

Seorang lagi penduduk Felda Kertih 2, Mohammad Yassin, 72, yang merupakan antara 321 peneroka generasi pertama Felda itu berkata, ekoran ketiadaan tempat tinggal, ramai anak peneroka terpaksa menyewa rumah serta menumpang teduh di rumah ibu bapa masing-masing.

“Sekurang-kurangnya kami harap, seorang anak peneroka daripada setiap keluarga dapat rumah generasi kedua seperti yang dilaksanakan di tanah rancangan lain.

“Saya sendiri pun, ada anak yang tinggal bersama sebab kalau nak bina atau beli sendiri rumah, memang di luar kemampuan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Felda Kertih 3, Daud Deraman, 69, berharap ahli Parlimen baharu yang dipilih turut menumpukan pembangunan fasiliti di Felda tersebut.

“Seboleh-bolehnya kami mahu tadika, balai raya serta masjid dinaik taraf. Masjid di kampung kami tak ada pembesar suara, jadi agak sukar untuk mereka yang tinggal jauh dari masjid mendengar azan,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya