fbpx

Segera selesaikan isu jalan, aliran trafik penduduk Puncak Alam

NAJWAN Halimi ketika membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa menyelesaikan masalah isu jalan serta aliran trafik yang membelenggu penduduk Puncak Alam, di sini, ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, semenjak pembukaan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Oktober lalu, kadar aliran trafik di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, kian meningkat yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk terutama sekali pada waktu kemuncak.

“Pada 26 Oktober lalu, saya bersama ADUN Pandan Indah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor telah turun padang bagi melihat sendiri trafik pada waktu puncak di Persiaran Mokhtar Dahari.

“Saya amat berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan pembinaan laluan tambahan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik yang membelenggu penduduk sekitar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2023 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Selain Persiaran Mokhtar Dahari, Najwan menjelaskan banyak kenderaan berat kini menggunakan sebuah jalan pintas dari Puncak Alam ke Setia Alam melalui Taman Alam Budiman, iaitu melibatkan Persiaran Pulau Lumut dan Persiaran Setia Makmur.

Penggunaan kenderaan berat ini menurutnya, menyebabkan kesesakan trafik turut berlaku di jalan terbabit sehingga membolehkan berlakunya kemalangan jalan raya.

“Baru-baru ini, berlakunya satu kemalangan yang melibatkan sebuah lori simen dengan sebuah motosikal dan mujurlah tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

“Justeru, diharap kerajaan negeri dapat membina sebuah tembok konkrit di laluan tersebut bagi mengatasi masalah terbabit,” tegasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN