PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, segala peraturan, perolehan dan pengurusan tender kerajaan tidak boleh lagi dizinkan berlaku kebocoran, ketirisan dan rasuah.
Dalam hal itu, beliau menggesa agar semua pihak perlu bergerak ke hadapan dengan menganalisis masa depan secara nyata bersandarkan apa yang perlu dilakukan dan mempersiapkan diri menghadapi islah atau perubahan reformasi pengurusan negara.
Kata beliau, semua itu harus berlaku di semua peringkat, malah di peringkat awal ini semua penjawat awam untuk sama-sama berada dalam satu pasukan sekali gus bertekad untuk menyelamatkan dan mengangkat semula negara.
“Hidup rakyat negara ini walaupun tidak separah beberapa negara lain, tetapi dalam keadaan yang agak sukar.
“Saya tahu saudara-saudara ada ramai yang datang dari kampung dan desa. Sebab itu di peringkat awal saya tak peduli segala fitnah, (yang menuduh saya ini) ejen israel, saya tak peduli, saya nak tumpu soal kerja kerana soal ejen ini, sebenarnya saya ini banyak ejen dari banyak negara
“Saya harap kita tumpu soal kerja. Saya tidak tokok tambah,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 350 penjawat awam dalam pertemuan kali pertama dengan golongan berkenaan di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini. – UTUSAN