SETIU: Keenakan makanan laut disaluti tepung rangup dihidang bersama sos pencicah resepi sendiri menjadi tarikan utama pengunjung ke NL Celup Tepung Bira Pata, Pantai Penarik, Setiu, Terengganu.
Pengusaha restoran, Nor Azlinda Abas, 40, berkata, pengalaman lebih tujuh tahun mengusahakan perniagaan berasaskan makanan celup tepung memberi kelebihan untuknya mengolah adunan tepung serta sos pencicah mengikut selera serta menepati citarasa pelanggan.
Katanya, pada peringkat awal dia hanya memproses bekalan tepung serta sos pencicah itu untuk keperluan pelanggan di restoran berkenaan sahaja.
“Namun lama-kelamaan sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga saya memilih untuk memasarkan tepung buatan sendiri NL serta sos pencicah itu secara komersial,” katanya.
Nor Azlinda berkata, di samping juadah hasil laut seperti sotong, udang, ketam dan ikan celup tepung restorannya turut menyediakan hidangan masakan panas yang dimasak oleh chef berpengalaman.
“Setakat ini terdapat tiga orang chef yang bergilir-gilir memasak sepanjang restoran ini mula beroperasi seawal pukul 10 pagi hingga 9 malam.
“Antara hidangan paling istimewa adalah Udang Butter, Ketam Salted Egg dan Seafood Berasap.
“Restoran ini mampu memuatkan kira-kira 300 orang pelanggan dalam satu masa serta lokasinya menarik dikelilingi deretan pohon kelapa,” katanya.
Menyingkap kembali sejarah pembabitan awal dirinya dalam dunia perniagaan bermula daripada hasrat hati mahu membantu suami tercinta sejak 14 tahun lalu.
“Pada masa itu saya menjadi sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk mendapatkan kemudahan pinjaman wang berjumlah RM3000 dan digunakan sebagai modal tambahan perniagaan suami.
“Bermula dari situ saya belajar tentang bidang perniagaan secara lebih serius sebelum timbul idea untuk membuka perniagaan sendiri berasaskan menu celup tepung ini,” katanya.
Ibu kepada empat orang cahaya mata ini berkata, dia amat bertuah kerana sokongan dan bantuan kewangan daripada AIM memberi peluang kepadanya mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik.
“Saya amat berterima kasih kepada AIM kerana menyediakan kemudahan bantuan pinjaman wang bermula daripada RM3000 kini saya boleh meminjam sehingga RM45,000 melalui dua skim.
“Perancangan saya selepas ini mahu mengembangkan lagi cabang perniagaan melalui NL Holidays dengan menawarkan perkhidmatan pakej percutian ke Pulau Redang menggunakan bot sendiri,” katanya.
Untuk penggemar makanan laut bersalut tepung ini, boleh layari facebook page: NL Celup Tepung Bira Pata atau laman instagram: nlceluptepungpenarik atau Tiktok: @nl.celuptepung atau terus menghubungi Pn. Nor Azlinda Abas di talian 016-6096225 . – UTUSAN