KOTA BHARU : Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Pahang akan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Tuan Ibrahim berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada ‘mood’ pengundi di kawasan tersebut yang dilihat semakin positif dengan kehadiran beliau sebagai calon PN di DUN tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun beliau enggan berada di dalam zon selesa selagi belum diumumkan kemenangan menjadi milik PN di situ.
“Saya dan jentera parti perlu bekerja keras dalam usaha meningkatkan sokongan pengundi kepada PN pada pilihan raya kali ini.
“Saya sendiri telah melawat ke hampir semua kawasan di DUN Cheka termasuk ke Unit Daerah Mengundi (UDM) yang ada sekaligus bertemu sebahagian besar pengundi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ibrahim yang juga calon Pas Parlimen Kubang Kerian memberitahu, secara purata sudah 80 peratus kawasan di situ sudah dilawati olehnya.
Katanya, hanya satu atau dua kampung yang berada agak jauh dan akan beliau lawati dalam minggu ini.
“Kebetulan ada pasar minggu di DUN berkenaan pada Jumaat lepas dan kita turun berjumpa sebahagian besar pengundi di sana. Kebetulan calon-calon daripada semua parti juga datang berkempen di situ,” ujarnya.
Ditanya berkenaan nama beliau dicadangkan sebagai calon Menteri Besar sekiranya PN menang di Pahang, Tuan Ibrahim menyatakan beliau lebih pentingkan kerja-kerja untuk memastikan kemenangan parti pada PRU15.
“Perkara itu kita fikir kemudianlah. Yang penting kita buat kerja dahulu, usaha dahulu sebab kita bukan nak berebut jawatan. Kita buat kerja dan buktikan melalui undian nanti,” katanya. –UTUSAN