PRU15: 'Tok Chop' tak kisah dilabel calon kampung - Utusan Malaysia

PRU15: ‘Tok Chop’ tak kisah dilabel calon kampung

CALON BN kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Muhamad Yusoff Mohd. Noor ketika turun padang berkempen pada PRU15 di sekitar Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor tidak mempedulikan ‘cakap-cakap belakang’ kononnya beliau tidak layak dan bukan calon sesuai BN untuk bertanding di kerusi itu kerana membawa `imej kampung’.

Sebaliknya, Muhamad Yusoff, 59, yang lebih mesra dipanggil ‘Tok Chop’ berkata, beliau menjadikan perkara itu sebagai pemangkin untuk terus komited dan fokus dalam memperjuangkan isu rakyat di kawasan tersebut.

“Bila berkempen ini macam-macam (tanggapan timbul). Tapi memang ada orang nampak cara saya ‘kampung’, orang kata saya tidak mampu untuk pimpin (suara rakyat) di peringkat tertinggi.

“Tapi, dengan pengalaman dan ilmu yang ada, saya mampu bawa suara dan mewakili rakyat, jangan menilai seseorang itu hanya dari luaran,” katanya ketika ditemui sewaktu menyantuni penduduk di Jalan Sheikh Madar, Telok Ayer Tawar, di sini semalam.

Muhamad Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua berkata, misi dan fokus utamanya sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu adalah mahu menjadikan Tasek Gelugor sebuah kawasan pinggir bandar yang pesat membangun.

Sehubungan itu tambahnya, manifestonya di Parlimen Tasek Gelugor juga memberi tumpuan yang lebih inklusif merangkumi pelbagai sudut termasuk pendidikan, ekonomi, perumahan, pelancongan dan industri luar bandar.

Dalam masa sama, beliau yakin BN mampu mendapat sokongan daripada majoriti pengundi Tasek Gelugor termasuk masyarakat Cina dan India.

“Meskipun terdapat cabaran dalam meraih pengundi muda Cina khususnya, BN akan terus bekerjasama dengan MCA untuk tarik pengundi muda ini. Kalau dapat separuh undi dalam kalangan mereka saya rasa BN tiada masalah untuk menang di sini,” katanya.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu; Datuk Wan Saiful Wan Jan; Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Shabudin dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).

Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini dan memberi laluan kepada Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.