PRU15: Nurul Izzah janji tunai empat agenda utama dalam tempoh 30 hari - Utusan Malaysia

PRU15: Nurul Izzah janji tunai empat agenda utama dalam tempoh 30 hari

NURUL IZZAH Anwar ketika ditemui pemberita di Yayasan Aman, Penanti, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengumumkan empat agenda utama yang akan ditunaikannya dalam tempoh 30 hari sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, keempat-empat agenda yang bakal dilaksanakan itu meliputi kepentingan kebajikan dan kesejahteraan penduduk Permatang Pauh.

Agenda pertama katanya, bantuan capaian makanan warga emas, ibu tunggal akan dilebarluaskan termasuklah kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.

“Kedua, menerusi program Kita Belajar, kanak-kanak bakal mengikuti kelas tuisyen dan mengaji al-Quran secara percuma manakala penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) akan menerima bantuan menerusi iBita.

“Selain itu, prasarana dan kemudahan wifi untuk anak-anak tempatan yang sebelum ini hanya boleh diakses secara percuma di Yayasan Aman Penanti akan diperluaskan ke Pusat Komuniti Penanti dan Seberang Jaya.

“Yang terakhir, Fit Permatang Pauh diwujudkan khas meliputi pelbagai aktiviti antaranya senaman, bola sepak dan program permotoran khusus buat anak-anak muda di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, pelaksanaan agenda terbabit menjadi sebahagian daripada khidmat beliau sekiranya diberi mandat untuk mempertahankan Permatang Pauh.

“Pulanglah mengundi dan insya-Allah tidak lama lagi kita bakal menyaksikan peralihan sejarah yang digarap rakyat sekali gus menjadi sebahagian daripada perubahan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya