Projek perumahan curi bekalan air bersih 

Projek perumahan curi bekalan air bersih 

TINDAKAN penyambungan air secara tidak sah dikesan di sebuah tapak pembinaan rumah teres setingkat di Bukit Changgang, Banting, Selangor.

CYBERJAYA: Sebuah tapak pembinaan rumah teres setingkat di Bukit Changgang, Banting, Selangor diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas didapati mencuri bekalan air milik Air Selangor.

SPAN menerusi kenyataan akhbar berkata, serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan SPAN dengan bantuan Air Selangor dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat penyambungan bekalan air secara tidak sah (pintasan pada tetiang meter).

“Tindakan ini menyalahi undang-undang dan difahamkan bekalan air ini digunakan untuk operasi pembinaan dan aktiviti harian pekerja.

“SPAN mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan tindakan pemotongan bekalan air yang tidak sah tersebut dilakukan,” katanya.

Katanya, operasi penguatkuasaan sebegini adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang disyaki membuat sambungan bekalan air menyalahi undang-undang.

Jelasnya lagi, kes ini disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

SPAN turut menasihatkan orang awam memaklumkan kepada operator air jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan termasuk aktiviti mencuri bekalan air bersih dan penyambungan bekalan air secara tidak sah. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN