JOHOR BAHRU: Kenyataan yang tular dalam media sosial memetik Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengatakan pemimpin UMNO tidak berguna wajar disingkirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah palsu.
Tunku Mahkota Johor menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sepertimana disebarkan dalam gambar yang tular itu.
Beliau berkata, kenyataan itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Royal Press Office atau dalam laman sosial rasmi miliknya.
“Ini adalah satu kenyataan palsu disebarkan secara berterusan pihak tidak bertanggungjawab dalam pelbagai aplikasi media sosial,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Royal Press Office malam ini.
Terdahulu, tular gambar Tunku Ismail dengan tertera kenyataan menghina parti UMNO yang dikatakan dikelilingi pemimpin tidak berguna.
Menurut kenyataan itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk membuang ‘sampah’ ini pada pilihan raya umum ini.
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) sebelum ini sudah membuat laporan polis tentang penyebaran kenyataan palsu itu.
Tunku Mahkota Johor berkata, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan beliau atau Keluarga Diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office atau dalam laman sosial rasmi beliau.
Sejak semalam, semua parti politik yang mengambil bahagian pada PRU15 sudah mula berkempen selepas proses penamaan calon di kawasan Parlimen masing-masing. – UTUSAN