PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa MySPR Semak mendapat hits yang terlalu tinggi sehingga melepasi 2.5 juta persaat.
Perkara itu menyebabkan kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal laman semakan tersebut.
Bagaimanapun, pihak SPR telah memaksimumkan penggunaan pelayan (server) yang ada bagi mengatasi masalah ini.
Tambah SPR, para pengundi boleh mendapatkan maklumat pengundian sama ada dengan menelefon talian hotline SPR di 03-88927218 atau menyemak dibarung SPR di semua pusat mengundi sebagai alternatif.
Terdahulu, orang ramai merungut laman semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)https://mysprsemak.spr.gov.my/ tidak boleh dilayari kerana dipercayai mengalami gangguan akibat kesesakan capaian trafik internet.
Hari pengundian di seluruh negara yang ditetapkan hari ini, menyebabkan ramai rakyat Malaysia melayari laman tersebut untuk menyemak lokasi dan saluran pusat pengundian masing-masing.
Hari ini, dijangka 21,173,638 rakyat Malaysia keluar mengundi sempena PRU15 bagi menentukan parti atau gabungan yang akan membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.- UTUSAN