Polis digesa siasat kenyataan Presiden Pas

Polis digesa siasat kenyataan Presiden Pas

KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD dan ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di bawah Akta Hasutan kerana menghina institusi Raja-Raja Melayu negara ini.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia berikutan kenyataan terbaru Abdul Hadi mengenai ‘pengadil’ dan ‘masa kecederaan’ yang dimuat naik dalam Facebook rasminya adalah satu tuduhan yang serius serta biadab terhadap institusi istana.

“Abdul Hadi dilihat mencemuh tindakan ‘pengadil’ yang dikatakan kononnya tidak berlaku adil menambah waktu perlawanan supaya pihak yang kalah boleh dimenangkan ‘dengan apa cara sekali pun’. 

“Sindiran beliau tersebut telah dikecam oleh ramai netizen yang memahami penulisan tersebut merujuk kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik oleh Yang di-Per­tuan Agong dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Ada juga berpendapat Abdul Hadi menyindir dan merujuk kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan oleh Barisan Nasional dan PH di negeri Pahang di atas perkenan Istana Pahang.

“Apa sekali pun, kedua-dua kerajaan tersebut dibentuk mengikut undang-undang negara dan negeri di bawah kuasa pihak istana berkenaan dan ia perlu dihormati semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, penulisan Ahli Parlimen Marang secara terbuka itu kelihatan derhaka menuduh pihak istana tidak berlaku adil, menipu undang-undang dan seterusnya mencabar tindakan pihak Istana.

“Jika beliau tidak berpuas hati, beliau sepatutnya boleh mengambil tindakan undang-undang melalui mahkamah dan bukan menghina kuasa dan tindakan istana secara terbuka dan tidak beradab semasa pihak istana sedang cuba membentuk kerajaan yang stabil.

“Situasi tidak stabil ini tercetus sejak peristiwa Langkah Sheraton cara ‘tebuk atap’ yang Abdul Hadi sendiri mengaku bahawa beliaulah yang memulakannya sehingga kita menyaksikan berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh 32 bulan,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, Parlimen Malaysia berdepan situasi tergantung setelah tiada mana-mana gabungan parti politik yang mendapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan.

Kemelut itu bagaimanapun berjaya diselesaikan oleh Yang di-Per­tuan Agong melalui cadangan pembentukan kerajaan perpaduan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia dengan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.