fbpx

Pintu 1 Istana Negara jadi tumpuan media

Anggota polis mengawasi di pintu utama Istana Negara bagi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan diadakan sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan di sini, hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR : Puluhan pengamal media mula berkumpul di perkarangan pintu satu Istana Negara, pagi ini.

Tumpuan terarah di pintu satu Istana Negara, apabila perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan hari ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Setakat pukul 9 pagi, tiada kelibat kenderaan membawa Raja-Raja Melayu kerana difahamkan mereka dijangka tiba pukul 10 pagi ini.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia selepas Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda pada pukul 10.30 pagi semalam, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum itu memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Kelmarin, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10. –UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN