PH jangka tsunami pengundi berulang

PRU15: PH jangka tsunami pengundi berulang

KHOO POAY TIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PARLIMEN Kota Melaka dianggap kubu kuat DAP sejak 1974, hanya tewas sekali dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2004 kepada Barisan Nasional (BN).

Perubahan demografi pengundi, sentimen rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 dan strategi lawan yang meletakkan calon Melayu di Kota Melaka dilihat mampu memberi cabaran getir kepada penyandang kerusi, KHOO POAY TIONG.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI, Naib Pengerusi DAP Melaka itu memberi pandangannya terhadap harapan pengundi serta potensi PH mempertahan Kota Melaka.

UTUSAN: Kota Melaka memiliki jumlah pengundi yang ramai. Bagaimana perjalanan kempen PH mendekati pengundi?
KHOO POAY TIONG: Semakin hari semakin bagus dan maklum balas pengundi menggalakkan. Disebabkan kawasan ini sangat luas merangkumi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai 164,000 pengundi, saya berkempen setiap hari dari pagi hingga lewat malam.

Kota Melaka adalah kubu kuat DAP sejak sekian lama. Adakah status ini membuatkan Yang Berhormat (YB) berasa selesa?
Sejak diberi mandat pada 2018, pelbagai aktiviti harian dijalankan dalam tempoh hampir lima tahun ini. Bagi saya, persediaan itu adalah kempen awal kita untuk menghadapi PRU15. Selepas Parlimen dibubarkan, gerak kerja kempen giat dijalankan dan cuba bertemu seramai mungkin pe­ngundi. Setiap undi penting, maka kita perlu mendapatkan sokongan segenap lapisan masyarakat.

Berlaku tsunami pengundi pada PRU14 yang membantu PH menawan Putrajaya. Adakah gelombang ini akan berlaku lagi?
Berdasarkan maklum balas pengundi, tsunami pengundi akan berlaku. Semasa kempen PRU14, minggu pertama berkempen suhunya agak sejuk, tetapi selepas itu bahangnya mula dirasai. Bagaimanapun, keputusan PRU14 tidak boleh dijadikan ukuran dalam PRU15 kerana faktornya berbeza. Dulu kita ada Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama PH, tetapi kali ini tawaran kita adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Kita yakin tawaran Anwar sebagai Perdana Menteri akan mendapat sokongan pengundi. Ini boleh dilihat ketika kita berkempen dan mengadakan ceramah, penerimaan masyarakat amat memberangsangkan.

Prestasi PH tidak begitu baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Masih relevankah keputusan itu dijadikan sandaran terhadap kemampuan PH dalam PRU15?
Keputusan PRN lepas tidak begitu baik untuk PH apabila menang lima daripada 28 kerusi DUN. Kita telah buat bedah siasat dan mengenal pasti beberapa sebab mengapa PH kalah. Waktu itu, kita berkempen dalam norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menyekat ruang kita untuk berkempen. Namun, ketika ini senario dan sentimen pilihan raya adalah berbeza. Mengapa kerajaan tergesa-gesa mengadakan PRU15 ketika musim hujan?
Ini telah menimbulkan kemarahan pengundi. Kita percaya semua faktor ini akan mempe­ngaruhi corak pemilihan pengundi berbanding ketika PRN lalu.

Adakah YB berdepan tekanan untuk mempertahan kerusi ini?
Ya, menjadi tugas berat bagi saya mengekalkan kerusi ini. Ini penting untuk saya menyumbang satu kerusi dalam usaha PH me­nuju ke Putrajaya. Bagaimanapun, kemenangan saya seorang tidak cukup kerana saya juga bertanggungjawab membantu rakan-rakan lain menang khususnya di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Tangga Batu dan Alor Gajah. Saya harap PH boleh mengekalkan empat kerusi ini yang dimenangi pada PRU14. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN