PGA tahan lori dan rampas rokok seludup RM2.28 juta

PGA tahan lori dan rampas rokok seludup RM2.28 juta

SEBAHAGIAN rokok putih bernilai RM2.28 juta termasuk cukai selepas yang dirampas PGA selepas menahan sebuah lori di tepi jalan Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh dekat Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan semalam. - FOTO/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 165,550 batang rokok putih bernilai RM2.28 juta termasuk cukai selepas menahan sebuah lori di tepi jalan Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh dekat Pasir Tumboh di sini, semalam.

Dalam serbuan pukul 9.20 malam itu, PGA turut menahan pemandu lori tersebut berusia 42 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan itu hasil maklumat berkait kegiatan penyeludupan rokok yang diterima Briged Tenggara PGA menerusi Op Kontraban Pantai Timur.

Menurutnya, sejurus ditahan lori tersebut dibawa ke Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan ke atas lori tersebut telah menemui 777 karton rokok yang tidak bercukai. 

“Siasatan mendapati, kotak-kotak rokok itu berisi 165,550 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM832,000 dengan nilai cukai sebanyak RM1.45 juta. Nilai keseluruhan rampasan rokok dianggarkan berjumlah RM2.28 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pada masa sama pihaknya turut merampas dua buah telefon dan wang tunai sebanyak RM800.

Katanya, meskipun negara berada dalam fasa Pilihan Raya Umum Ke-15, Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Briged Tenggara PGA tetap memperketatkan penugasan di sempadan menerusi Op Wawasan.

“Kegiatan penyeludupan perlu dibendung sepenuhnya kerana ia menyebabkan kerugian cukai yang tinggi kepada negara. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN