Percaya rezeki, Aqeesh Aleeya enggan fikir soal persaingan - Utusan Malaysia

Percaya rezeki, Aqeesh Aleeya enggan fikir soal persaingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Aqeesh Aleeya, 18, memaklumkan pembabitannya dalam bidang nyanyian bukan untuk bersaing dengan artis lain, sebaliknya hanya mahu berkongsi bakat bagi mewarnai lagi industri muzik.

Kata Aqeesh, setiap penyanyi mempunyai kelebihan tersendiri, malah rezeki juga telah ditentukan membuatkan dia nekad untuk mencuba nasib dengan lebih serius.

Justeru katanya, dia tidak mahu kehadirannya dalam industri muzik dianggap sebagai persaingan kepada penyanyi lain.

“Saya percaya semua artis atau penyanyi baharu ada keistimewaan masing-masing. Jadi, saya tidak mahu memikirkan sangat soal persaingan.

“Setiap kami mempunyai matlamat untuk menaikkkan industri dengan cara sendiri. Namun, semua itu turut bergantung kepada rezeki kerana setiap individu ada bahagian masing-masing,” katanya.

Penglibatan Aqeesh dalam bidang seni suara bukan bermula semalam, sebaliknya sudah menapak sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, baru kini penyanyi muda ini berpeluang untuk menonjol.

“Saya bermula dengan pertandingan Bintang Kecil sewaktu berusia sembilan tahun. Saya menyertai banyak pertandingan dan turut menjadi pengacara serta pelakon.

“Walaupun terpaksa tempuh masa yang lama untuk sampai ke tahap sekarang, saya tidak kisah. Selain rezeki, saya juga berharap ada tuah untuk terus diberi peluang meneroka bidang nyanyian.

“Banyak pertandingan nyanyian yang saya sertai, ada menang dan ada kalah. Itu rezeki yang saya jadikan sebagai penguat semangat untuk berjuang dalam industri seni,” ujarnya.

Mengulas tentang single baharunya, Retak, Aqeesh memaklumkan, dia gembira diberi kepercayaan membawakan sentuhan yang menjadi lagu latar drama Rindu Kasih yang ditayangkan di TV3.

“Lagu ini memang sedap didengar. Alhamdulillah, saya tidak berdepan masalah untuk merakamkannya. Cuma, mungkin saya perlu mendalami lagi tuntutan lagu ini untuk menjiwainya dengan lebih berkesan.

“Saya harap lagu ini dapat diterima baik semua pendengar pelbagai peringkat umur, seterusnya membantu melonjakkan langkah saya dalam industri hiburan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya