Pengundi Melayu diseru sokong calon BN di Tebrau

Pengundi Melayu diseru sokong calon BN di Tebrau

HISHAMMUDDIN Hussein (kiri) bersama-sama Siaw Ting dan Maulizan pada Program Jelajah Undi BN Johor di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengundi Melayu di kawasan Parlimen Tebrau perlu bersama-sama jentera Barisan Nasional (BN) bagi memenangkan calon bukan Melayu yang menjadi sandaran parti tersebut.

Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka perlu mencontohi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang dan Paloh di Parlimen Sembrong yang memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada calon MCA dan MIC yang bertanding.

Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong berkata, demografi penduduk di Parlimen Sembrong tidak jauh bezanya dengan Parlimen Tebrau dan wajar dijadikan contoh.

“Jika kita lihat di Kahang, 87 peratus adalah Melayu, namun calon yang diletakkan adalah daripada MIC, begitu juga di Paloh yang mempertaruhkan calon MCA walaupun majoritinya adalah pengundi Melayu.

“Namun begitu, jentera parti tetap berusaha keras memenangkan calon tersebut, kedua-dua calon di DUN Kahang dan Paloh menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

“Jadi, apa yang sepatutnya dilakukan pengundi di Tebrau tidak ada bezanya dengan Parlimen Sembrong, misinya adalah membantu calon parti menang,” katanya pada Program Jelajah Undi BN Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri calon BN di Parlimen Tebrau, Datuk Nicole Wong Siaw Ting dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Siaw Ting berdepan cabaran tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Jimmy Puah Wee Tse dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Isa Mohamad Basir.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, dalam politik BN, parti hanya boleh mengecapi formula terbaik apabila semua parti ada rasa tak puas hati.

“Arwah ayah saya cerita, kita hanya boleh capai formula terbaik bila semua tak puas hati, bila MCA, MIC dan UMNO tak puas hati, maknanya tepatlah formula.

“Ini kerana nak mentadbir dan memimpin negara yang majmuk dan berbilang kaum dan agama, tidak mungkin boleh memuaskan hati semua,” katanya.

Parlimen Tebrau mempunyai jumlah pengundi tertinggi di negeri ini, iaitu seramai 223,301 orang dengan pecahan pengundi Melayu sebanyak 53 peratus, Cina (33.54%) dan India (11.56%).

Pada PRU14, Steven Choong Shiau Yoon yang bertanding atas tiket PH memenangi Parlimen Tebrau dengan majoriti 37,225 undi menewaskan calon BN, Hou Kok Chung dan calon Pas, Abdullah Husin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya