Pembelaan dakwa 1MDB rugi sebab ikut nasihat peguam - Utusan Malaysia

Pembelaan dakwa 1MDB rugi sebab ikut nasihat peguam

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengalami kerugian AS$700 juta selepas ‘mengikut’ pendapat perundangan daripada sebuah firma guaman.

Menurut cadangan yang diberikan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pendapat tersebut diberikan oleh salah seorang rakan kongsi Tetuan Wong & Partners, Brian Chia bagi menjustifikasikan pemindahan wang tersebut ke syarikat Good Star Ltd. yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Cadangan tersebut bagaimanapun tidak boleh disahkan oleh seorang lagi rakan kongsi firma guaman tersebut, Lim Chin Hian yang juga saksi pendakwaan ke-32.

“Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan peribadi (mengenai pendapat perundangan) dan tidak boleh membuat sebarang ulasan,” katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Muhammad Shafee pada perbicaraan kes Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu, saksi berkenaan memberitahu bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan Jho Low sepanjang bekerja di firma guaman tersebut.

Walaupun Muhammad Shafee mencadangkan bahawa terdapat individu yang tidak dinamakan menyatakan bahawa Chin Hian ada bertemu dengan Jho Low bersama-sama Chia, saksi itu tetap menyatakan sebaliknya.

“Saya 100 peratus tidak pernah bertemu dengan Jho Low,” jelasnya.

Bagi pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen tersebut memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya