Pembantu kedai makan cari bapa kandung terpisah 39 tahun

Pembantu kedai makan cari bapa kandung terpisah 39 tahun

WAN Adina Hanim Wan Mohamed  menunjukkan sijil kelahiran dan surat terakhir yang ditinggalkan bapanya, Wan Mohamed Wan Abu Bakar di Taman Sri Nilam, Gong Pauh, Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pembantu kedai makan di Taman Sri Nilam, Gong Pauh, dekat sini meminta bantuan orang ramai menjejaki bapa kandungnya yang terpisah sejak 39 tahun lalu. 

Wan Adina Hanim Wan Mohamed, 39, berkata, bapanya, Wan Mohamed Wan Abu Bakar, berusia 60-an menghilangkan diri selepas berpisah dengan ibunya, Fauziah Zahid Safian, 60, sejak 1984. 

“Ibu dan bapa saya berpisah ketika saya berusia sembilan bulan dan sebelum berpisah, bapa beritahu ibu dia mahu ke Johor Bahru untuk bekerja, namun lokasinya tidak diberitahu. Dah lama saya cuba mencari bapa, namun tidak ditemukan. Sekurang-kurangnya sebelum saya menutup mata, saya mahu tahu sama ada bapa saya masih ada atau tidak. Jika dia masih ada, saya mahu berjumpa dengannya,” katanya kepada pemberita, hari ini. 

Wan Adina yang merupakan ibu tunggal berkata, dia dan ibunya membuat pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun tiada sebarang sijil kematian dan kad pengenalan yang didaftarkan atas nama bapanya. 

“Apa yang lebih sedih, saya tidak mempunyai gambar bapa saya sebab gambar kenangan perkahwinan ibu bapa saya musnah selepas rumah saya dilanda banjir besar pada 2014. Saya hanya mempunyai sekeping surat yang merupakan pesanan terakhir yang ditinggalkan bapa kepada ibu,” katanya. 

Sementara itu, Fauziah berkata, dia dan bekas suaminya sebelum ini tinggal di Kampung Nibong Stesen, Dungun dan pernah bekerja di Tanjung Jara Resort sekitar awal 80-an. 

“Apa yang saya tahu, bekas suami pernah beritahu dia adalah saudara kepada bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor,  Mohamed Tawfik Tun Dr. Ismail yang merupakan calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Bagan Datuk, Perak. 

“Seingat saya, beliau (Mohamed Tawfik) pernah berkunjung ke rumah saya di Dungun ketika tahun 80-an. Saya cuba beberapa kali menghubungi beliau untuk meminta bantuan, namun gagal,” katanya. 

Orang  ramai yang mempunyai maklumat mengenai Wan Mohamed Wan Abu Bakar, boleh menghubungi Wan Adina di talian 013-9237318. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN