VALENCIA:
Pelumba pasukan Ducati, Francesco Bagnaia memastikan gelaran juara dunia Motogp menjadi miliknya selepas menamatkan perlumbaan terakhir musim ini di Litar Gran Premio Motul de la Comunitat Valenciana di tempat kesembilan, sekaligus menghampakan impian pencabarnya dari Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo untuk mempertahankan kejuaraan.
Bagnaia yang mesra disapa “Pecco” hanya memerlukan dua mata sahaja untuk memenangi kejuaraan, dan kedudukan kesembilan perlumbaan sudah cukup untuk dia mengumpul keseluruhan 258 mata, sementara Quartararo pula yang menghabiskan perlumbaan di tempat keempat akur untuk berada di belakang Bagnaia dalam carta keseluruhan dengan 235 mata.
Perlumbaan berlangsung begitu sengit apabila jentera Bagnaia bergesel dengan jentera Quartararo yang terdesak memburu kejuaraan, sehingga menyaksikan winglet jentera Bagnaia tercabut.
Perlumbaan akhirnya dimenangi pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins yang dianggap sebagai penutup musim yang indah buat pasukan Jepun itu memandangkan Suzuki tidak lagi akan menyertai saingan Motogp pada musim hadapan. Brad Binder (Red Bull KTM) dan Jorge Martin (Prima Pramac Racing) melengkapkan kedudukan podium untuk perlumbaan ini.
Bagi Bagnaia ini merupakan kejayaan pertamanya menggengam gelaran juara Motogp, sekaligus menamatkan penantian 15 tahun pasukan Ducati yang kali terakhir dimenangi menerusi Casey Stoner pada 2007. -UTUSAN ONLINE