ARAU: Di sebalik UMNO yang menolak kerjasama dengan Pas sebelum ini, parti itu sentiasa terbuka menerima UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan bersama Perikatan Nasional (BN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pucuk pimpinan akan berunding mengenai gabungan PN, BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak itu.
Katanya, Pas tidak pernah menutup pintu penyatuan tersebut.
Dalam masa sama, Hashim berharap pemimpin UMNO yang menolak penyatuan sebelum ini insaf dan perlu segera menyedari kepentingan penyatuan tersebut yang sememangnya dituntut Allah SWT.
“Pas tidak pernah berdendam meskipun orang pernah tolak kita sebelum ini. Dia (UMNO) tolak kita dan pilih orang yang mahu penyatuan dan akhirnya kita dapat hasilnya,” katanya.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan BN hanya meraih 30 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menang 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 73 kerusi Parlimen.
Mengikut parti pula, Pas memenangi kerusi paling banyak dalam pilihan raya kali ini iaitu 44 kerusi yang menyaksikan pencapaian terbaik parti itu.
Sementara itu, Hashim menzahirkan rasa syukur dengan pencapaian luar biasa PN dan Pas termasuk di Perlis sehingga berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan besar.
“Di Perlis sebelum ini kita sasar menang lapan kerusi namun menang sehingga 14 kerusi termasuk semua tiga kerusi Parlimen. Kemenangan tersebut adalah atas kehendak dan pertolongan Allah SWT.
“Saya harap kerajaan di Perlis dan pusat ini tidak melupakan pertolongan Allah SWT ini,” katanya. – UTUSAN










