KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim mengelak daripada menggunakan bahan terlarang seperti steroid untuk mendapatkan bentuk fizikal diidamkan.
Kata Norman, dia lebih percaya kepada senaman yang konsisten dan gaya pemakanan sihat untuk membesarkan otot.
“Saya adalah jurulatih bersijil, jadi saya faham kesan buruk penggunaan steroid untuk membesarkan otot.
“Hampir setiap hari saya bersenam dan angkat berat. Jadi, saya tidak perlukan benda seperti itu. Bila tanya jurulatih lain, mereka juga melarang penggunaan steroid.
“Saya hanya amalkan dan kekalkan gaya hidup sihat. Biarlah ia datang daripada pemakanan yang sihat dan senaman berterusan, bukan dengan bantuan bahan yang memberi kesan buruk pada kemudian hari,” ujarnya.
Kongsi Norman, dia mula menitikberatkan soal pemakanan dan senaman sejak enam tahun lalu selepas mendapat tahu tahap kecergasannya sedikit merosot.
“Saya mula angkat berat ketika umur 40 tahun dan sekarang usia saya sudah menjangkau 46 tahun.
“Sebelum ini, saya hanya melakukan senaman tetapi tidak menitikberatkan tentang pemakanan. Bila membuat saringan kesihatan, saya dapati kolesterol dalam badan berada pada tahap membimbangkan.
“Begitu juga fungsi buah pinggang yang merosot. Dahulu, saya sering mengalami sakit kepala.
“Selain angkat berat dan mengamalkan senaman latihan interval berintensiti tinggi (HIIT), saya juga kawal pemakanan. Alhamdulillah, bacaan kolesterol terkini saya pada tahap baik iaitu 1.9,” tambahnya.
Tambah pelakon filem Pasrah itu lagi, dia mahu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana baginya, kesihatan adalah anugerah Allah yang terlalu berharga.
“Sebenarnya, kesedaran tentang kesihatan adalah usaha bersama dalam keluarga. Isteri saya, Memey Suhaiza rajin masak, tetapi kebanyakan bahan menggunakan sumber organik.
“Motivasi kesihatan saya adalah anak-anak. Mereka kekuatan saya. Jadi, saya mahu menjadi contoh yang baik kepada mereka, terutama dalam hal berkaitan penjagaan kesihatan,” jelasnya.