MBJB peruntuk RM15 juta hadapi banjir

MBJB peruntuk RM15 juta hadapi banjir

MOHD. NOORAZAM OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan sebanyak RM15 juta sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hingga Mac depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, peruntukan itu turut digunakan bagi melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja penambahbaikan sistem saliran dan struktur serta penyelenggaraan.

Beliau berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi persediaan musim Monsun Timur Laut ketika ini termasuk dari segi tenaga kerja, peralatan dan jentera serta logistik yang diperlukan.

“MBJB telah melantik 10 syarikat bagi kerja-kerja melibatkan pembaikan saliran utama dan struktur di seluruh kawasan MBJB mengikut pecahan zon bagi tempoh 12 bulan mulai Oktober lalu melibatkan peruntukan RM4 juta.

“Selain itu, empat syarikat telah dilantik bagi kerja-kerja penggalian mendapan dasar sungai yang kini sedang giat dilaksanakan di Sungai Pandan, Sungai Sengkuang, Sungai Tampoi dan Sungai Bala dengan kos RM1.25 juta. 

“Ini tidak termasuk kos bagi sembilan lagi projek penggalian mendapan, pembersihan, menaik taraf perangkap sampah dan pembaikan lain yang masih dalam peringkat penilaian tender,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.

Noorazam berkata, MBJB juga melantik 23 kontraktor bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan pembersihan tahunan melibatkan peruntukan RM1.5 juta.

Pihaknya turut memperuntukkan RM7.2 juta bagi projek tebatan banjir dengan melakukan pemasangan pam di tiga lokasi strategik dan pembinaan dua kolam air takungan di kawasan terpilih.

“Terdapat juga kerja-kerja penggalian yang dilaksanakan sendiri oleh pihak MBJB menggunakan jentera seperti di Sungai Ayer Molek dan Sungai Chat, di sini.

“MBJB juga telah melaksanakan dan akan terus melakukan kerja penyelenggaraan sungai secara berkala di semua saliran utama menerusi kontraktor penyelenggaraan tahunan sebagai langkah tebatan banjir,” katanya.  

Dalam pada itu, MBJB akan terus memantau lokasi-lokasi ‘hotspot’ banjir dalam kawasan bandar raya Johor Bahru bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan risiko banjir. 

Antara kawasan ‘hotspot’ ialah di lembangan Sungai Skudai melibatkan Taman Tampoi Indah, Jalan Roda Utama-Jalan Skudai, Masjid Skudai Kiri, Batu 4 Setengah, Jalan Skudai, Taman Johor, Kampung Pasir, Kampung Sri Jaya dan Kampung Sri Serdang.

Kawasan lain yang turut diberi tumpuan ialah di Lembangan Selat Johor di Kampung Mohd. Amin, Jalan Kolam Ayer, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Stulang Darat.

“Satu lagi ‘hotspot’ banjir ialah di Lembangan Sungai Tebrau/Plentong, antaranya Kempas Permatang, Kempas Lurah, Taman Istimewa, Taman Suria, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Plentong Baru dan Kampung Baru Pandan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya