PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 6.6 dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi tadi, mangsa berusia 55 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan sebuah treler jenis Scania.
Kata beliau, lokasi kemalangan adalah lebuh raya tiga lorong dan satu lorong kecemasan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila treler dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun dari arah Shah Alam menuju ke KLIA sedang bergerak di lorong pertama (perlahan) tiba-tiba terdengar bunyi pelanggaran yang kuat di bahagian belakang.
“Pemandu treler berkenaan telah berhenti dan mendapati mangsa telah terjatuh di lorong pertama laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Wan Azlan, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk manakala bahagian besi belakang treler turut rosak.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Saksi kemalangan diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” katanya. – UTUSAN