KOTA BHARU: Legenda bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapha, 57, terpaksa ditidurkan selepas mengalami masalah komplikasi kencing manis.
Mohd. Nizab Ayub yang merupakan menantu kepada bekas penyerang prolifik Kelantan itu berkata, bapa mentuanya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami keletihan selain jantung berdegup kencang pada pukul 11 pagi semalam.
“Sebelum ditidurkan, keadaan papa (Mohd. Hashim) agak kritikal. Jadi saya mohon kepada seluruh peminat bola sepak negara mendoakan semoga beliau kembali sembuh seperti sedia kala.
“Papa kini sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia 14 Oktober lalu melaporkan, kaki kiri Mohd. Hashim terpaksa dipotong selepas salur darah tersumbat akibat jangkitan kuman yang dialami sejak Mac lalu.
Terdahulu akhbar ini juga pada 24 April lalu melaporkan, Mohd. Hashim menderita akibat jangkitan kuman di pergelangan kaki kanan selepas terjatuh dari motosikal yang ditungganginya Mac lalu.
Kejadian itu berlaku semasa Mohd. Hashim keluar untuk menjalankan tugas sebagai pengendali skuad Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.
Ekoran itu, kaki kanannya kini bengkak secara mengejut menyebabkan dia tidak dapat memakai kasut seperti biasa.
Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Mohd. Hashim pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Liga Perdana 1993 dan 1994. – UTUSAN










