Kerajaan gagal lucut hak harta yang disita dari Pavilion Residences

Kerajaan gagal lucut hak harta yang disita dari Pavilion Residences

ROSMAH Mansor hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar permohonan kerajaan untuk melucuthak harta yang disita dari Obyu Holdings.-  UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak dibenar melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama berjumlah RM80 juta yang disita ketika serbuan di Pavilion Residences, empat tahun lalu.

Perkara itu ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta-harta berkenaan yang didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam permohonan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang dinamakan sebagai pihak ketiga, menuntut harta-harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin turut menolak permohonan lisan pihak pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan didengar.

Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Muhammad Jamil berpuas hati, pihak pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan harta-harta yang disita itu berpunca daripada aktiviti haram.

Pada hemat beliau, pemohon terlebih dahulu perlu membuktikan bahawa kesalahan predikat iaitu pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan menerima harta curi (Seksyen 411) telah dilakukan.

Hakim Muhammad Jamil berpendapat, oleh kerana kesalahan predikat tidak dibuktikan, maka tidak timbul isu sama ada harta yang disita itu diperoleh hasil daripada aktiviti haram.

Mahkamah berpuas hati, tiada unsur-unsur pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Pegawai penyiasat gagal membuktikan harta itu berpunca daripada perlakuan pecah amanah dan menerima harta curi bagi mengaitkannya dengan aktiviti haram,” ujar hakim berkenaan.

Menurut beliau, Asisten Komisioner Rajagopal gagal mendedahkan dan mengenal pasti pihak yang diamanahkan dengan wang 1MDB, pihak yang mempunyai penguasaan wang tersebut dan bagaimana Najib dikaitkan sebagai ejen syarikat itu.

Dalam keputusannya, beliau turut menyatakan, wang berjumlah AS$247,599,466 telah dibayar oleh Blackstone Asia Real Estate Partners dan beberapa pihak lain kepada 31 syarikat pengeluar dan penjual barangan kemas untuk pembelian barang kemas.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin kemudian membuat permohonan lisan untuk menggantung keputusan itu sementara menunggu rayuan didengar.

Beliau memohon pemulangan barang-barang kes ditangguhkan bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan dan membuat permohonan penangguhan secara bertulis.

“Kesan daripada keputusan ini luas pemakaiannya kerana harta perlu dipulangkan jika penangguhan tidak dibenarkan. Jika merit rayuan didengar, ia akan menjadi sia-sia,” ujar Faten Hadni.

Pada peringkat itu, Hakim Muhammad Jamil mencelah dan menyatakan beliau tidak mengeluarkan sebarang perintah, jadi tiada apa yang perlu ditangguhkan.

Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah membantah atas alasan penangguhan hanya melibatkan pelaksanaan hukuman bagi kes jenayah dan tidak melibatkan kes sivil atau prosiding lucut hak harta.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings terhadap pelbagai barang yang dirampas daripada Pavilion Residences yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1MDB.

Barang-barang itu termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Pada 20 Mei 2021, kerajaan gagal dalam permohonan untuk melucut wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita, didakwa milik Najib dan UMNO.

Pihak pendakwaan menghujahkan, 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta adalah hasil penyelewengan dana 1MDB.

Ini kerana wujud urus niaga langsung antara Najib dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jo atau Jho Low serta sekutu rapatnya Eric Tan Kim Loong melalui syarikat Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners.

Hujah pendakwaan, sumber utama wang dalam akaun Ambank Najib yang berakhir dengan angka 694 adalah daripada wang yang dipindahkan daripada Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners iaitu syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan Eric Tan.

Mahkamah turut diberitahu, tujuh jam tangan jenama Richard Mille adalah hadiah kepada Najib, dan tiada perkaitan antara jam tangan yang disita itu dengan dana 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN