Kematian calon Padang Serai: Mesyuarat khas SPR Jumaat ini

Kematian calon Padang Serai: Mesyuarat khas SPR Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai. 

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen berkenaan, M. Karupaiya hari ini. 

Kata beliau, SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon berkenaan.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 November ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai. 

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Karupaiya disahkan meninggal dunia pada pukul 2.27 petang tadi di Hospital Kulim.

Kematian beliau disahkan Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul kepada Utusan Malaysia yang memberitahu, mendiang yang merupakan penyandang kerusi itu dimasukkan ke hospital beberapa hari lepas akibat muntah dan penat.

“Beliau bagaimanapun tetap hadir ketika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen di Kulim dan Padang Serai pada 14 November lalu.

“Dalam majlis itu beliau memberikan ucapan ringkas kira-kira lima minit. Karupaiya kemudiannya turut menjulang tangan Anwar pada akhir ucapan Presiden PKR itu,” katanya.

Tambahnya, Karupaiya kemudiannya beredar meninggalkan majlis namun tiba-tiba rebah dan dibawa ke hospital.

“Namun, beliau dilaporkan meninggal dunia di hospital dengan perkara itu disahkan anak lelakinya,” katanya.

Pada PRU14, Karupaiya memperolehi 31,724 undi mengatasi calon Pas, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan Datuk Dr. Leong Yong Kong daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 15,449 undi.

Selain Karupaiya yang dinamakan PH untuk mempertahan kerusi Padang Serai, lima lagi calon yang mahu merebut kerusi di situ adalah Hamzah Abd Rahman mewakili Pejuang; Datuk C. Sivaraj (BN); Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional); Mohd. Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya