PETALING JAYA: Ibu tunggal, Azimah Abd. Rahim yang terpaksa membawa anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan pergi bekerja sebagai penghantar makanan menerima bantuan pengecualian cukai jalan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim dalam satu kenyataan memberitahu, Azimah menerima bantuan melalui inisiatif pengecualian fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan OKU.
Kata beliau, cukai jalan berkenaan sebagai sebahagian insiatif JPJ seperti dibentangkan di bawah Bajet 2022.
“Selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia, JPJ menawarkan bantuan kepada Azimah melalui inisiatif pengecualian fi LKM kenderaan OKU memandangkan ibu tunggal itu belum menerima manfaat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Zailani hadir di kediaman Azimah di Jalan Ipoh dekat sini hari ini.
Dalam kunjungan itu, Zailani menyampaikan bantuan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (CRS) selain aksesori tambahan keselamatan penunggang motosikal bagi memudahkan urusan menguruskan anak Azimah, Nur Ainul Zahirah Rashidi, 6.
Mengulas lanjut, kata Zailani, berdasarkan semakan JPJ, Azimah memenuhi kriteria ditetapkan dan layak menikmati keistimewaan pengecualian fi LKM sekali gus membantu meringankan beban kewangan beliau.
Jelas beliau, inisiatif itu diberikan kepada Keluarga Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan seperti merupakan golongan OKU atau dikategorikan sebagai ibu bapa, penjaga serta pasangan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Justeru, bagi yang layak dan belum menerima keistimewaan itu, mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran untuk membuat pengisytiharan kali pertama dan memohon pengecualian fi LKM untuk kenderaan OKU.
“Keistimewaan pengecualian fi LKM untuk kenderaan OKU layak diberikan kepada kenderaan diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai serta terhad kepada pemasangan tempatan sahaja,” jelasnya.
Selain itu katanya, kenderaan terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu tersebut selain perlu mempunyai kad OKU yang dikeluarkan JKM.
Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang dimiliki oleh ibu bapa dan penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak atau pasangan OKU serta berdaftar dengan JKM,” katanya.
Gambar muka hadapan akhbar Utusan Malaysia memaparkan Azimah yang terpaksa membawa anaknya keluar bekerja sebagai penghantar makanan tular dalam media sosial. – UTUSAN